Perbezaan vaksin COVID-19 antara negara kaya dan miskin semakin buruk dari hari ke hari, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan semalam, menegaskan bahawa kegagalan untuk mengagihkan dos secara adil boleh mengakibatkan kerugian trilion dolar terhadap ekonomi global.
WHO menyatakan ia memerlukan AS$26 bilion (RM105.18 bilion) tahun ini untuk programnya yang bertujuan mempercepat pembangunan, pemerolehan dan penghantaran vaksin, rawatan dan ujian yang adil untuk mengatasi pandemik COVID-19. "Negara-negara kaya mengeluarkan vaksin, manakala negara-negara kurang maju di dunia melihat dan menunggu," keluh Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. "Setiap hari yang berlalu, jurang semakin besar antara negara kaya di dunia dan yang kurang berada," katanya pada sidang media.
Tambahnya, nasionalisme vaksin mungkin memenuhi tujuan politik jangka pendek. Namun, menjadi kepentingan ekonomi jangka panjang dan sederhana setiap negara untuk menyokong ekuiti vaksin. Tedros memetik kajian yang dikendalikan oleh Yayasan Penyelidikan Dewan Perniagaan Antarabangsa mendakwa kesan ke atas kewangan akibat pandemik di negara-negara kaya tidak dapat diperbaiki kecuali impak krisis di negara-negara membangun juga ditangani ekoran hubungan antara ekonomi di seluruh dunia. Tedros menyatakan, melabur dalam apa yang disebut sebagai program pemecut ACT, untuk mengekang pandemik secara bersama dan adil, adalah bukan bersifat amal, tetapi hanya 'perkara biasa ekonomi'. Sementara itu, ketua hab program pemecut ACT WHO, Bruce Aylward menyatakan tujuan vaksinasi hanyalah untuk menghilangkan bahang pandemik menjelang akhir 2021. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT