"Allah izinkan saya jumpa mereka supaya sedar dalam kehidupan ini ada orang lain yang lebih susah," kata Siti Noor Nadia Zainal Abidin, 29, yang terserempak dengan wanita bersama tiga anaknya memunggah tong sampah di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan, untuk mencari barangan kitar semula.
Siti Noor Nadia berkata, dia dan suami, Abdul Halim Muhammad, 29, kebetulan melihat situasi itu ketika dalam perjalanan bagi urusan kerja di kawasan rumahnya. "Semalam saya sudah memberi sumbangan barangan dapur dan lampin pakai buang untuk anak bongsunya yang berusia setahun. "Saya lebih suka memberi barangan keperluan untuk dia dan anak-anaknya dan bukanlah dalam bentuk kewangan.
"Malah saya juga membantunya setakat yang mampu jika dia perlukan pertolongan terutama dalam urusan anak-anaknya," katanya. Sebelum ini tular video berdurasi 30 saat kelihatan wanita itu sebak selepas menerima sumbangan daripada Abdul Halim yang keluar dari kereta selepas melihat kegigihannya mencari rezeki di tong sampah. Siti Noor Nadia berkata, selepas perkongsiannya itu tular, ramai individu yang turut berkongsi kisah itu dan mahu sama-sama menghulurkan sumbangan. Menurutnya, wanita yang dikenali sebagai Norizza Husin adalah ibu tunggal yang menyara empat orang anak. "Dia hanya mampu mencari pendapatan dengan mengutip barangan kitar semula disebabkan perlu menjaga anaknya. "Anak bongsu masih menyusu dan tidak boleh berenggang dengannya dan kerana itu dia tidak dapat mencari pekerjaan yang lebih baik. "Dia juga terpaksa membawa anaknya mengutip tin kerana tidak mahu menyusahkan orang lain dalam urusan penjagaan," katanya. Difahamkan wanita itu dan empat anaknya itu tinggal dalam satu rumah bersama kakak dan ahli keluarga lain seramai 15 orang. Siti Noor Nadia berkata, kakak Norizza pernah bekerja di kilang membuat keropok lekor namun terpaksa dicutikan tanpa gaji sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan, 16 Januari lalu. "Keluarganya juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan. "Saya juga tahu ramai badan bukan kerajaan (NGO) dan orang kampung pernah membantu keluarga ini tetapi tujuan saya membantu secara peribadi ini ikhlas sebagai saham akhirat," katanya. Sementara itu, Pengurus Persatuan Misi Kembara Dakwah, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pihaknya dan beberapa NGO gabungan lain juga dalam usaha menyantuni keluarga wanita itu. Katanya, pihaknya tidak dapat menjalankan Program Gerobok Rezeki secara aktif seperti sebelum ini berikutan PKP dan menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan pemberian sumbangan kepada golongan asnaf di sekitar Kelantan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT