Mungkin disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kembali dilaksanakan, urusan perkahwinan melibatkan urusan undang-undang kini dipermudahkan dan ramai pasangan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Seolah-olah menjadi ‘trend’ kini, ramai golongan remaja mengambil keputusan untuk berkahwin di usia muda dan ianya membuatkan penulis lirik dan pengacara Fedtri Yahya tampil menyuarakan pendapatnya mengenai isu tersebut. Fedtri atau nama sebenarnya Ahmad Fedtri Yahya menganggap bahawa pernikahan di usia muda tidak patut menjadi ikutan kerana memikirkan ramai remaja sekarang tidak matang dan kurang berkemampuan. Dia menyuarakan pendapat tersebut menerusi sebuah ciapan yang mendapat respons pelbagai daripada pengguna Twitter. Malah, Fedtri turut memberitahu bahawa terdapat banyak kes melibatkan penceraian di kalangan pasangan muda hanya selepas beberapa minggu berkahwin kerana merasakan diri tidak bersedia selain enggan menanggung sebarang komitmen setelah mempunyai anak. Tambahnya, tidak perlu ‘berlumba’ untuk menjadi yang terawal dalam perihal ini kerana ianya melibatkan tanggungjawab dan amanah yang berat untuk dipikul buat mereka yang tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan kukuh. Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat Fedtri dan ada juga yang berpandangan bahawa urusan jodoh seseorang itu merupakan rahsia Allah S.W.T. Sebelum ini, beberapa kisah mengenai remaja yang masih bersekolah berkahwin di usia muda mencetuskan ruang kritikan sehingga tular di media sosial. Sumber: BeautifulNara |
ADVERTISEMENT