Lelaki nekad mengorbankan nyawanya untuk dipersembahkan kepada dewa sekiranya dia berjaya mendapat pekerjaan. Gulf News melaporkan, lelaki berusia 32 tahun itu membunuh diri sebaik diterima bekerja di sebuah bank komersial.
Menurut laporan, kejadian berlaku di daerah Kanyakumari, Tamil Nadu pada Khamis lalu dan tular di media sosial. Lelaki dikenali sebagai Naveen itu melompat ke hadapan sebuah kereta api sedang bergerak. Menerusi nota yang ditemui di dalam poket seluarnya, dia berkata, "Saya menuju ke...yang memberi pekerjaan kepada saya". Siasatan mendapati Naveen merupakan graduan dalam jurusan kejuruteraan dan menganggur sejak beberapa tahun lalu. Difahamkan, pada awal bulan ini, dia ditawarkan jawatan penolong pengurus di sebuah bank terkenal di Mumbai.
Selepas beberapa minggu bertugas, dia terbang ke Thiruvananthapuram pada Khamis sebelum menaiki teksi menuju ke Marthandam untuk bertemu rakan. Menurut polis, dari situ dia berjalan kaki ke landasan kereta api di kampung Putheri di Rajakkamangalam sebelum membunuh diri. Mayat Naveen dibawa ke Kolej Perubatan Kerajaan Kanyakumari untuk bedah siasat. Polis juga sedang menyiasat kemungkinan ada sebab lain mendorongnya mengambil tindakan drastik itu. - CARI
|
ADVERTISEMENT