Di kala imej geng gelang pink semakin tercemar dek sikap segelintir mereka yang mementingkan diri sendiri, muncul sebuah kisah menyejukkan hati masyarakat. Perkongsian pekerja syarikat penghantaran makanan di Facebook, SyukireGrab yang tular di media sosial membuat orang ramai menarik nafas lega kerana masih ada pihak yang prihatin dan bertanggungjawab dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Rider berkenaan berkongsi sekeping nota dilekatkan pada pintu gril rumah sebuah keluarga dipercayai baru pulang dari Sabah. "Assalamualaikum, kami sekeluarga sedang menjalani tempoh kuarantin wajib di rumah kerana baru pulang dari Sabah. "Mohon jasa baik abang Grab & Food Panda meletakkan makanan di dalam bakul disediakan. "Terima kasih atas jasa baik menghantar makanan kepada kami," tulis nota itu.
Rata-rata warga maya memuji sikap mereka sekeluarga yang patut dijadikan contoh kepada geng gelang pink yang tidak bertanggungjawab. - CARI
|
ADVERTISEMENT