Polis di Bandar Hitachinaka di wilayah Ibaraki menahan seorang lelaki selepas disyaki menyebabkan kematian bayi perempuan berusia sebulan. Japan Today melaporkan, Sho Onuma, 28, ditahan pada Isnin mengaku menghempas anaknya itu ke pintu dan menumbuk perutnya kerana stres mangsa tidak berhenti menangis.
Suspek bagaimanapun menafikan bertindak demikian dengan niat membunuh bayi itu. Kejadian berlaku antara 15 dan 23 Julai di rumah yang didiaminya bersama anaknya, Maika dan isteri berusia 24 tahun. Polis mendakwa, Onuma mencengkam leher baju Maika dan menghempas bayi itu ke pintu bilik air dan pintu gelongsor (sliding door). Kemudian, apabila mangsa sedang tidur, suspek menumbuk perut dan dadanya. Apabila menyedari bayi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 23 Julai, pasangan itu membawa anak mereka ke hospital sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada keesokannya.
Berikutan itu, doktor menghubungi polis melaporkan kemungkinan bayi itu didera dengan teruk. Sebaik suspek ditahan, isterinya mengakui kepada polis bahawa dia menyedari perbuatan suaminya, namun tidak mampu menghalang lelaki itu. - CARI
|
ADVERTISEMENT