Mohd Yusof melakonkan semula cara penyamun memecahkan kaca pintu menggunakan kayu DANGI - Tiga penyamun dipercayai warga Indonesia bukan sahaja menyamun sepasang warga emas malah sempat mengisi perut sebelum merompak bagi tujuan pukau. Dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi semalam, mangsa, Mohd Yusof Othman, 62 dan Zaleha Latib, 57, yang tidur di dalam bilik rumahnya bernombor 98 di Kampung Selaru Dangi, dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah pintu bilik. Mohd Yusof berkata, dia tersedar selepas terdengar bunyi pintu biliknya dipecahkan penyamun menggunakan kayu yang disendalkan di pintu ruang tamu. "Ketika itu, pakcik dan makcik sedang tidur, bila tersedar, cermin di pintu bilik sudah pecah. Penjenayah bertindak memecahkan cermin pintu selepas mereka tidak dapat membuka pintu kerana dikunci dari dalam. "Selepas berjaya masuk dalam bilik, dua daripada mereka mengikat kaki dan tangan pakcik, tetapi makcik hanya diikat tangan sahaja menggunakan wayar telefon manakala seorang lagi tunggu di luar,” katanya. Menurutnya, selepas itu, kedua-dua penyamun mengacukan dua bilah parang di lehernya dan isterinya sebelum mengugut agar menyerahkan barangan kemas. “Akibat ketakutan, pakcik berdiam diri sahaja. Tetapi makcik meronta-ronta dan melawan ketika salah seorang penyamun mengambil beg tangannya. “Kerana itu, makcik dipukul menggunakan kayu di bahagian paha dan lutut hingga lebam serta bengkak,” katanya ketiga-tiga suspek menutup separuh muka dan menyelitkan selipar di pinggang masing-masing. Katanya, dengan mengambil masa 15 minit sahaja, ketiga-tiga penyamun berjaya melarikan diri dengan membawa sebuah komputer riba, dua jenis telefon bimbit, dua jam tangan dan wang tunai RM260. “Kami memang tidak simpan barang kemas dan duit di dalam rumah kerana bimbang kejadian seperti ini berlaku. “Selepas menunggu selama 20 minit, barulah pakcik keluar meminta jiran menghubungi pihak polis. Akibat kejadian ini, pakcik kerugian kira-kira RM2,000,” katanya . Katanya, kejadian sebegitu sudah tiga kali berlaku di rumahnya, namun yang pertama dan kedua, penyamun tidak berjaya memasuki rumahnya. Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, penyamun itu memasuki kawasan rumahnya melalui dusun buah-buahan di belakang rumah dengan memotong dawai pagar. "Mereka memasuki rumah pakcik dengan memotong besi tingkap di bahagian dapur. "Selepas itu, mereka mengambil nasi dan makan di luar rumah sebelum menggeledah bilik untuk mencari barang berharga," katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis, Melang jam 9 pagi, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan. "Anggota polis juga sudah melakukan siasatan lanjut di rumah mangsa dengan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya kepada Sinar Harian.
|
ADVERTISEMENT