Dah lama sangat tak nampak di TV sampai Haneesya Hanee digelar artis sendu! Enggan melatah, Haneesya kata dia baru sahaja nak bertatih dalam dunia lakonan jadi gelaran artis sendu itu tak sesuai untuknya.
"Bagi saya, panggilan artis sendu tidak sesuai untuk saya, malah sedikitpun tidak terasa dengan panggilan yang diberi. Saya baru sahaja bertapak dalam industri seni, berapa kerat sangat drama yang dibintangi, jadi ia bukanlah gelaran yang sesuai ditujukan kepada saya. Lainlah, jika sudah lama saya berlakon," katanya kepada BH Online. Sebenarnya dari umur 9 tahun Haneesya dah memulakan kerjaya seni tapi entah mana silapnya dia kini semakin kurang mendapat tawaran berlakon.
"Saya meminati dunia lakonan hingga sanggup mengikuti kelas seni. Cuma, rezeki belum menyebelahi biarpun saya memenangi ABPBH, tahun lalu. Semakin kurang tawaran lakonan diterima. Mungkin produser takut saya meletakkan harga tinggi, tetapi saya tak mungkin bersikap sedemikian kerana saya tahu siapa diri saya. "Bagaimanapun, saya bersyukur rezeki dalam dunia peragaan masih tidak berhenti. Begitu juga ulasan produk, jadi melalui dua sumber inilah saya meraih pendapatan menanggung keluarga. Saya berlakon bukan disebabkan duit, tetapi minat yang mendalam pada lakonan," tambahnya.
Walaupun banyak kontroversi yang melanda dirinya, Haneesya positif untuk menjaga nama dan kerjayanya. "Jujurnya, saya mengalami kejutan budaya apabila menjadi cemuhan masyarakat pada peringkat awal dahulu. Kini, saya cuba belajar untuk terbuka dalam menerima kritikan. Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mudah. Sakit sangat apabila dikritik, tetapi tidak mudah menutup mulut netizen. "Kebanyakan kontroversi yang berlaku wujud secara tidak disengajakan. Sedikit kesalahan yang dilakukan, netizen suka membesarkannya hingga menjadi tular. Saya tak mahu menoleh ke belakang lagi, saya mahu mengurangkan kontroversi dan fokus kerja serta produk yang bakal dihasilkan," tambahnya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|