Walaupun diri sendiri susah kerana banyak komitmen seni tergendala sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nabil Ahmad tetap membantu teman yang memerlukan bantuan.
Katanya, hampir setiap hari dia menerima mesej daripada teman sekampung yang meminta bantuan akibat hilang pekerjaan.
"Kita tahu bagaimana keadaan ekonomi kita sekarang. Disebabkan PKP, ramai yang hilang pekerjaan. Sekarang, hampir 70 hingga 80 peratus kawan-kawan saya di kampung menganggur. "Jadi, ramai yang menghubungi meminta dipinjamkan wang. Kawan-kawan kampung saya kenal dari kecil, takkan tak dibantu. Apatah lagi, ada antara mereka mempunyai ramai anak. Tapi saya beri ikut kemampuan," katanya kepada BH Online.
Sementara itu hatinya tak tenang bila ada pihak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). "Memang tidak patut. Kita tidak mahu gelombang kedua berlaku sehingga terpaksa mematuhi PKP sekali lagi. Kalau jadi balik, ekonomi kita akan lebih terjejas," tambahnya. Menurutnya lagi, sepanjang PKP, dia tiada pendapatan kecuali sebagai pengacara Meletop. "Ada lebih 20 acara dibatalkan dengan kerugian ratusan ribu ringgit. Alhamdulillah selepas PKP, saya dapat rentak semula." Nabil bersyukur banyak jenama tampil menjalin kerjasama dengannya. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|