|
Padah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiga sekawan didenda sebanyak RM5,000 setiap seorang atau satu tahun penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Sinar Harian melaporkan, ketiga-tiga tertuduh menangis sebaik dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Mujid Saroji di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini.
Mengikut pertuduhan, S Surinthran, 28, K Rajet Rao, 19, dan M Viknes Rao, 18, bertindak agresif terhadap seorang anggota polis kerana enggan digari ketika tangkapan dilakukan. Kejadian berlaku sekitar 7.50 malam, semalam di hadapan sebuah kedai serbaneka di Sungai Sumun, Rungkup. Tiga rakan baik itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan maksimum dua tahun penjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Difahamkan, ketika kejadian, ketiga-tiga mereka sedang minum dipercayai minuman keras dan bertindak kasar apabila dihampiri sepasukan anggota polis yang membuat rondaan. - CARI
|

ADVERTISEMENT