Suatu ketika dahulu kedua artis popular ini pernah 'berperang' - sering berbalas kenyataan membabitkan isu peribadi dan hal rumah tangga sampai tahap saman-menyaman. Terbaru, perkongsian video temubual program MeleTOP terbitan Astro antara pelakon popular Fasha Sandha dan Nora Danish yang dikongsi menerusi Instagram MeleTop membuktikan persengketaan yang pernah wujud di antara mereka sudah lama terpadam dan kembali berdamai.
Nora dilihat tidak kekok untuk berinteraksi dengan Fasha walaupun kontroversi antara mereka pernah tular sebelum ini.
Malah, Fasha bersama Faizal Hussein yang hadir untuk mempromosikan drama Dua Takdir Cinta dilihat mesra dan sempoi ketika menjawab soalan yang diajukan pengacara Nabil serta Nora yang bertindak sebagai pengacara jemputan dalam program itu.
Entri itu turut mendapat reaksi positif netizen yang begitu teruja dan gembira melihat kemesraan dua pelakon ini disatukan dan sikap profesional mereka. Untuk info, pada 2017 Nora mengambil tindakan undang-undang terhadap Fasha kerana didakwa bertindak memfitnahnya di Instagram yang disifatkan mencalar reputasi perniagaan diusahakan Nora. Fasha mendakwa, dia dihalau pihak Nora pada satu acara acara fesyen Fenomena Raya 2017. Pertelingkahan kedua-dua mereka berpanjangan sehinggalah pada tahun lalu, kemelut persengketaan antara mereka akhirnya tamat selepas kedua-duanya bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian saman fitnah antara mereka secara baik di luar mahkamah. Baguslah. Sampai bila nak bergaduh, kan? Pusing-pusing akan jumpa juga. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|