Sudah lumrah menjadi seorang selebriti, ke mana sahaja pergi pasti akan menarik perhatian ramai. Pasti ada sahaja yang mahu bergambar atau pun tidak kurang juga yang curi-curi mengambil gambar.
Chef selebriti yang juga merupakan seorang penyanyi, Datuk Dr Fazley Yaakob juga tidak terlepas dari mengalami situasi tersebut di mana baru-baru ini dia mendakwa yang gambarnya telah dirakam oleh peminat dalam diam. Fazley berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya berkata yang dia didatangi oleh sekumpulan keluarga ketika dia sedang menemani anak-anaknya mandi di tepi pantai.
Menurut Fazley, keluarga itu tiba-tiba mendatanginya dan menuding-nuding jari ke arahnya sambil mengambil gambarnya secara diam-diam. Apa yang membuatkan Fazley tidak selesa adalah cara keluarga itu yang menjerit sesama sendiri untuk memaklumkan kehadiran artis di pantai itu. Tambah Fazley lagi, jika keluarga itu datang menyapanya serta meminta izin untuk bergambar, sudah pasti dia tidak keberatan. Tetapi, sikap mereka yang agak kurang beradab menyebabkan Fazley merasakan seperti dia seperti seekor kucing yang berada dalam sangkar. Lebih memalukan lagi, apabila Fazley menawarkan untuk bergambar dengan salah seorang ahli keluarga itu, dia dengan selambanya menolak sambil berkata yang dia tidak berminat dengan artis.
"Actually saya kemudiannya offer 'Nak ambil gambar ke makcik? Jomlah saya pegangkan kamera kita selfie!" "Tahu apa dia jawab? 'Maaf ye Fazley, saya tak minat artis-artis ni!' Hahaha luah mati mak telan mati bapak jadinya." Posting Fazley tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini. Macam-macam la kan perangai manusia ni. Kot ye pun tak minat biarlah beradab sikit. Artis pun manusia jugak, ada hati dan perasaan. -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|