Siapa sangka, kemunculan seekor kucing menerusi gambar yang dimuat naik oleh menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menarik perhatian warganet.
Menerusi gambar yang tular itu, gelagat seekor kucing menyertai 'perbincangan' itu seolah-olah merupakan salah seorang ahli mesyuarat mengundang rasa lucu. Difahamkan aksi menguap kucing berbulu putih dan coklat itu dikatakan berlaku ketika Datuk Seri Saifuddin sedang turun padang memantau harga ikan di Sekinchan baru-baru ini. “Malam ini saya serta pegawai-pegawai kementerian bertolak ke Sekinchan, Selangor bagi melawat jeti-jeti pendaratan ikan pada awal pagi esok untuk memahami secara lebih mendalam rantaian bekalan dari jeti sehingga ke pengkalan,” catat Saifuddin.
Meskipun perkongsian Saifuddin di Twitter itu adalah mengenai isu bekalan ikan, namun warganet lebih tertarik dengan gelagat kucing comel itu. “Alhamdulillah rintihan perwakilan kucing pun diambil kira. Tapi macam tak puas hati nampaknya,” kata seorang warganet. Ketika lawatan itu, Saifuddin dilaporkan mendengar keluhan nelayan dan juga sempat beramah mesra dengan penduduk setempat. - CARI |
ADVERTISEMENT