Saharul Ridzwan masih ingat pesanan pelakon senior yang menasihatinya untuk berhati-hati mengatur hala tuju kerjaya dalam industri terutama apabila berada di puncak popular. Pesanan Azhan Rani sentiasa menjadi dorongan untuk Saharul terus bertahan dalam dunia lakonan ini.
Dia juga begitu kagum dengan pelakon Beto Kusyairy yang sentiasa mendapat tempat dalam industri sungguhpun jarang wajahnya muncul di skrin televisyen. Katanya lagi kepada Berita Harian, menjadi seorang yang popular memang mudah, namun untuk terus konsisten itulah yang sukar.
Masyarakat sentiasa melihat dan menilai pergerakan seseorang selebriti dan dia perlu bijak mengatur langkah. Dia perlu keluar dari zon selesa dan disebabkan itu dia mengambil peluang untuk berlakon filem pula untuk menguji kemampuan dirinya. Zul Ariffin juga pernah mengatakan padanya sebagai seorang pelakon, jika dapat membintangi sebuah filem maka itu adalah pencapaian yang baik kerana tidak semua mendapat peluang sebegitu. Kini, Saharul masih dalam set penggambaran untuk filem Coast Guard dan sangat bersyukur dikurniakan rezeki untuk berlakon dalam filem tersebut. Itulah pencapaian tertinggi dalam bakat seninya setakat ini.
Dia juga aktif dengan perniagaan sendiri yang dibantu isterinya ketika sibuk dengan penggambaran. Sebagai ketua keluarga, dia tidak boleh bergantung pada rezeki lakonan semata-mata, tambahan pula ahli keluarganya juga akan bertambah. Pada masa sama, dia juga berminat untuk menjadi pengarah dan sedang belajar selok-belok urusan belakang tabir.
Moga nama Saharul juga akan sebaris dengan pelakon ternama di tanah air suatu hari nanti. Kita perlukan muka-muka baru dan idea yang segar untuk menghidupkan lagi industri perfileman. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|