Menerusi laporan berita Awani.com, penyanyi rap terkenal yang juga merupakan pelopor muzik hip hop negara, Joe Flizzow dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga bersama teman wanitanya, Marini Ramlan pada tahun depan. Menurut ibu Joe, Aishah Ali anaknya itu sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya setelah mencapai tahap yang membanggakan dalam kerjaya seninya. Kira-kira sebulan lepas Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak telah dilantik sebagai pengarah urusan Def Jam Asia Tenggara. Menurut ibunya lagi, tiada sebarang tarikh pernikahan yang ditetapkan ketika ini, namun majlis perkahwinan dijangka bakal berlangsung awal tahun depan.
Siapa Marini Ramlan? Teman wanita Joe ini menyandang tugas sebagai Ketua Pengurus Besar Inovasi Kandungan & Digital Primeworks Studios Sdn Bhd. Selain itu, wanita ini juga merupakan seorang pelukis yang aktif berkarya. Dia yang turut dikenali sebagai Nini Marini dalam dunia seni lukis tempatan telah menghasilkan banyak lukisan berkonsep kontemporari dan telah berkolaborasi dengan beberapa pereka fesyen tempatan seperti Alia Bastamam dan Syaiful Baharim. Tahniah diucapkan kepada Joe dan pasangan. Nampaknya, pasangan ini mempunyai jiwa seni yang kuat dan masing-masing mempunyai kerjaya seni yang hebat dan membanggakan. - CARI |
ADVERTISEMENT