Tindakan kanak-kanak berusia 7 tahun memanjat pintu jeriji rumahnya membawa padah apabila jari kelengkengnya putus selepas tersangkut kira-kira 1 tengah hari pada Jumaat lalu, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, apabila Muhammad Najwan Faiz Mohammad Nasron mahu turun dari pagar itu, pintu bergerak menyebabkan jarinya tersangkut. Menurut kakaknya, Noraznira Mohammad Nasron, 28, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, Gua Musang, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku untuk mendapatkan rawatan. "Dia menangis dan darah keluar banyak. Kami mencari jari yang putus tapi tak jumpa lalu terus bawa adik ke Klinik Kesihatan Chiku 03. "Tiba di klinik, adik terus dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan kami jumpa jarinya tersangkut di bunga pagar besi itu," katanya. Mereka kemudian bergegas membawa jari mangsa ke hospital, di mana doktor terus meletakkannya ke dalam ais kerana ia masih hidup.
Katanya, pembedahan menyambung jari adiknya itu memakan masa lebih dua jam. "Doktor memberitahu, ada satu urat sahaja yang masih boleh disambung kerana yang lain semuanya hancur," ujarnya. Lebih menyayat hati, jarinya terpaksa dibuang semula kerana sudah mati. "Bagaimanapun hari ini, jarinya terpaksa dibuang semula kerana ia sudah mati dan kehitaman. Adik menangis apabila diberitahu jarinya terpaksa dibuang," katanya. - CARI
|
ADVERTISEMENT