CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Misteri & Sejarah Lihat artikel

Sejarah Kesultanan Melayu Perak

8-10-2013 12:31 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 36014| Komen: 16

Sejarah Kesultanan Melayu Perak


Perak telah terbukti wujud pada zaman pra sejarah lagi. Dianggarkan negeri Perak telah diduduki oleh manusia zaman batu lama semenjak 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi lagi.

Prasejarah
Penemuan arkeologi di Kota Tampan di Lenggong membuktikan terdapatnya penempatan manusia Zaman Batu Lama Tanah Melayu.

Malah satu rangka fosil telah dijumpai yang digelar Perak Man. Jumpaan dari carigali menunjukkan negeri Perak diduduki secara terus menerus sepanjang Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam.
Selepas itu Perak juga dijangkakan mengalami zaman Hindu/Buddha, yang tersebar secara menyeluruh semua kawasan di Tanah Melayu.

Asal Usul Nama

Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama “PERAK” sebagai sebuah negeri yang besar.
* Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A’fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. 

Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. 

Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.

* Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. ” Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri…”, lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada ‘perak’ dan busarnya dinamakan ‘Indera Sakti’. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.
* Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak.
* Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.
Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama ‘Negeri Perak’ itu menggambarkan bahawa pemilihan nama “PERAK” itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris yang berkeliaran di merata perairan Nusantara ini.

Kerajaan Purba

Menoleh kembali ke zaman silam Negeri Perak akan terjelmalah berbagai-bagai gambaran cetusan sejarahnya yang menjadi mutiara pusaka bumi Perak yang tiada ternilai harganya. Sebagai salah sebuah Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya tahun masehi lagi.

Sebelum munculnya nama “Negeri Perak” Kitab “Sejarah Melayu” ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.

Lanjutan Kesultanan Melaka

Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.

Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.

Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama ‘Beting Beras Basah’, bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-
Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka….’
Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul ‘JIN’ yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda…. Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku kedalam laut……
Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.
Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Pusat pemerintahan

Pusat pemerintahan Sultan Perak adalah juga istana Sultan Perak. Istana sultan berubah-ubah dari Hilir Perak hingga ke Kuala Kangsar. Kebanyakan tempat-tempat ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak. Di sekitar Kampung Gajah memang banyak sekali makam-makam Sultan Perak.

Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-

1. Tanah Abang – iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati ,di dalam Mukim Bota, Makam Sultan Muzzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)
2. Kota Lama Kanan
3. Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah
4. Semat dalam Mukim Senggang,
5. Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera
6. Pulau Tiga, Kampung Gajah
7. Pulau Cempaka Sari di Parit
8. Pulau Indera Sakti di kuala Sungai Kinta , Kampung Gajah
9. Pasir Pulai Indera Mulia , Kampung Gajah
10. Bandar Baharu , Kampung Gajah – pejabat JWW Birch , British
11. Pasir Panjang, Kampung Gajah
12. Durian Sebatang, Teluk Intan – Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874
13. Sayong, Kuala Kangsar
14. Batak Rabit, Teluk Intan

dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28.
Sultan Perak dari pertama hingga sekarang..

1. Sultan Mudzaffar Shah 1
2. Sultan Mansur Shah
3. Sultan Ahmad Tajuddin
4. Sultan Tajul Ariffin
5. Sultan Alauddin Shah
6. Sultan Mahmud Shah
7. Sultan Mudzaffar Shah 2
8. Sultan Mahmud Iskandar Shah
9. Sultan Alauddin Mughayat Shah
10. Sultan Mudzaffar Shah 3
11. Sultan Muhammad Shah
12. Sultan Iskandar Dzulkarnain
13. Sultan Mahmud Shah
14. Sultan Alauddin Mansor Shah
15. Sultan Ahmadin Shah
16. Sultan Abdul Malek Mansor Shah
17. Sultan Muda Raja Ahmad
18. Sultan Abdullah Muazzam Shah
19. Sultan Shahabuddin Riayat Shah
20. Sultan Abdullah Muhammad Shah
21. Sultan Jaafar Mua’zzam Shah
22. Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah
23. Sultan Abdullah Muhammad 2
24. Sultan Yussuf Sharifuddin Mudzaffar Shah
25. Sultan Idris Murshidul’azam Shah
26. Sultan Abdul JalilKaramatullah Shah
27. Sultan Iskandar Shah
28. Sultan Abdul Aziz Al-Mustasim Billal Shah
29. Sultan Yussuf Izzuddin Shah
30. Sultan Idris Iskandar Shah 2
31. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Istana Sultan Perak
Istana Kayangan

Pada peringkat awal ,tidak ada istana kukuh daripada batu yang dibina untuk Sultan Perak bersemayam. Istana Sultan Perak cuma rumah yang dibina daripada kayu yang bermutu tinggi sahaja yang dibina di tepi Sungai Perak. Kawasan tepi sungai Perak terutama di Hilir Perak ,kmemang tidak ada kawasan berbukit-bukau.

Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan dalam tahun 1877, baginda telah membuat istana di atas sebuah bukit berhampiran dengan Batang Hari kerana Sayong selalu sahaja di tenggelami air apabila Sungai Perak bah. Akhirnya bukit tersebut dinamakan Baginda dengan sebutan Bukit Chandan, gelarannya Seri Andalan.

Menurut ceritanya nama ini adalah mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu. Setibanya disini baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut datang sembah lalu berkata…

” Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana diatas bukit yangdi pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu….”
Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan ‘orang tua’ tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya istana rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Sistem Pemerintahan

Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-

* Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.
* Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.
* Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.
* Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah jawatan Bendahara Paduka Raja telah disandang oleh Megat Terawis.
Megat Terawis dikatakan berasal dari kerabat di raja Pagar Ruyong (Minangkabau) yang datang ke Perak bersama-sama Sultan Muzzaffar Shah dari Kampar. Sultan Muzzaffar Shah telah melantik beliau sebagai Bendahara bagi mengantikan Tun Muhammad setelah Megat Terawis berjaya menghapuskan Tun Saban yang bersengketa dengan baginda.

Corak pemerintahan tradisional ini walau pun dari kacamata barat dianggap sebagai amalam feudal yang tidak demokrasi tetapi jika diteliti dari segi pentadbirannya jelas menunjukkan bahawa sistem pemerintahan demokrasi telah lama dipraktikkan di Negeri Perak sebelum Inggeris menerjah masuk. Ini dapat dilihat dalam sistem perlantikan Sultan, pembesar negeri dan strultur pemerintahan itu sendiri.

Sejak dari perlantikan tersebut keturunan Megat telah memegang jawatan Bendahara Perak hinggalah akhir kurun ke 18 apabila Bendahara Megat Abu Kassim menyerahkan balik jawatan tersebut kepada Sultan Iskandar Zulkarnain kerana satu perbalahan.

Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair “Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya” sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.

1

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak
3

Bosan

Friends Rank (4 people)

  • Bagus

    Anonymity

  • Bosan

    Anonymity

  • Bosan

    Anonymity

  • Bosan

    Anonymity


ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote uniq61 22-5-2013 12:49 PM
Campurtangan Inggeris di Perak

Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran – iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung. Saperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.

Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.

Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat di eksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka. Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka pada 20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung di pertanggung jawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa – Sistem Residen.

Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan di antara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan di patuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.

Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang di syaki telah di bakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah di serang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris saperti yang di lakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.

Nasionalisme di negeri Perak

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan Negeri Perak nama-nama saperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Che’ Gondah, Ngah Ahmad, Laksamana Tun Mohamad Amin, Syahbandar, Che’ Ngah Ibrahim dan lain-lain lagi disamping Sultan Abdullah sendiri sebagai penebus maruah bangsa Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak mutlak Kesultanan Melayu. Ramai diantara mereka yang dihukum gantung dan di buang negeri di asingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi tetapi perjuangan mereka akan terus menjadi aspirasi generasi kini.

Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran yang berguna kepada Inggeris dalam merancanakan rancangan penjajahan mereka yang selanjutnya. Raja Yusuf telah diangkat sebagai Sultan Perak yang ke 27 (1877-1887) bergelar Sultan Yusuf Sharifuddin Muzzaffar Shah dan Raja Idris yang menghakimkan perbicaraan kes pembunuhan J.W.W.Birch telah diangkat menjadi Raja Muda. Sistem pertadbiran negeri telah diperkemaskan lagi dan dipersesuaikan dengan dasar Inggeris. Pembesar-pembesar negeri yang tidak sesuai telah di pencenkan dan yang berkebolihan serta masih taat kepada pemerintah telah dijadikanpegawai bergaji tetap dan mesti bekerja untuk Inggeris atas nama titah perintah Sultan.

Ehwal Semasa Negeri Perak

Pembangunan ekonomi telah di lipatgandakan dengan pembukaan lombong-lombong baru yang lebih moden dan ladang-ladang getah dan ini telah menyebabkan munculnya bandar-bandar bary disekitar kawasan perekonomian. Bagi menghubungkan rangkaian bandar-bandar baru saperti Taiping dan Ipoh, jalan-jalan raya dan perkhidmatan keretapi telah diwujudkan. Bandar-bandar traditional Melayu telah ditinggalkan kesepian kerana segala kepentingan ekonomi dan urusan perniagaan telah tertumpu di sekitar kawasan yang baru di bangunkan oleh Inggeris. Maka terasinglah orang Melayu dan tinggal lah mereka kesepian dengan corak penghidupan lama mereka di kawasan pertanian, di kuala-kuala sungai dan bandar tradisional warisan mereka.

Penduduk-penduduk Perak telah berkembang pesat dengan penghijrahan beramai-ramai buruh-buruh kaum Cina dan India untuk mengusahakan sektor perlombongan bijih dan ladang getah. Maka daripada sinilah wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali daripada identiti kegiatan ekonomi masing-masing.

Negeri Perak sungguh beruntung kerana golongan-golongan Kerabat Di Raja saperti Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, Sultan Iskandar Shah dan Raja Sir Chulan masih lantang bersuara dan memperjuangkan nasib rakyat yang di kekang penjajah.

Dalam menghadapi aliran perkembangan politik moden di pertengahan tahun 1940an hinggalah Tanah Melayu mengalami bahana Perang Dunia ke2, seterusnya detik-detik kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sejarah Negeri Perak berkait rapat dengan sejarah Tanah Melayu pada umumnya. Dalam hal ini negeri Perak telah melahirkan ramai tokoh-tokoh dan pejuang kemerdekaan yang masih harum namanya menjadi kebanggaan generasi sekarang. Sehingga kini payungan di raja Kesultanan Perak masih utuh menaungi kemakmuran negeri dan menjadi lambang kedaulatan dan kekuatan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Quote uniq61 22-5-2013 03:23 PM
Sejarah Negeri PerakPosted on 16 Jun 2010by pakcikli00


Ada berbagai-bagai pendapat mengenai asal usul nama Negeri Perak. Setengah pendapat mengatakan bahawa nama itu diambil bersempena dengan Bendahara Tun Perak dari Melaka dan setengahnya pula mengatakan ia diambil dari ‘kilatan ikan dalam air’ yang berkilau seperti perak. Justeru dari pengenalan nama negeri ini sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di buminya.
Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa. Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama Perak Man.
Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu.
Ini disusuli pula dengan zaman Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan lain-lain kawasan di Tanah Melayu.
Selepas zaman ini, alam persejarahan Negeri Perak telah maju setapak lagi dengan wujudnya kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding dan Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan lagi di Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Roman. Serentak dengan itu Islam mula bertapak kukuh di negeri ini.
Titik sejarah Negeri Perak sebenarnya bermula dengan penabalan Sultan Muzaffar Syah l yang berketurunan dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun l528. Walaupun zaman Kesultanan Negeri Perak telah muncul tetapi kuasa-kuasa tempatan masih diakui berkuasa. Corak pemerintahan yang dijalankan adalah urutan dari sistem feudal di Melaka yang berdemokrasi.
Negeri Perak lebih dikenali setelah kekayaan buminya diketahui iaitu ekoran dari penemuan bijih timah di Larut pada tahun l848 oleh Cik Long Jaafar. Dengan kejumpaan ini ekonomi Negeri Perak berkembang dengan pesat dan lebih banyak kawasan perlombongan dibuka. Selain bijih timah, getah juga memainkan peranan yang penting dan ditanam setelah 34 orang Sultan memerintah turun temurun.
Implikasi dari perkembangan ekonomi ini telah mengwujudkan masyarakat majmuk terutama kaum Cina yang bekerja di lombong-lombong di negeri ini.
Inggeris yang telah lama menaruh hati terhadap Negeri Perak telah campur tangan melalui Perjanjian Pangkor l874 setelah wujudnya kacau bilau di Larut. Dari campur tangan ini sistem pentadbiran Residen telah diperkenalkan dengan J.W.W.Birch sebagai Residen pertamanya.
Pada mulanya sistem Residen dijangkakan mendatangkan implikasi yang baik, tetapi kerana pelaksanaannya yang menyeleweng dan ditambah dengan sikap masyarakat pribumi yang tidak mahu dijajah, telah berlaku penentangan yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela. Akibatnya J.W.W.Birch dibunuh pada tahun 1875.
Sistem Residen masih juga diteruskan sehinggalah kedatangan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 194l. Negeri Perak turut mengalami kepahitan semasa pendudukan Jepun hingga tahun l945.
Babak penjajahan Inggeris selepas Jepun menyerah diri belum berakhir, malah diteruskan sehingga darurat berlaku pada tahun 1948. Keganasan banyak berlaku di Negeri Perak yang mana Parti Komunis Malaya bertanggung jawab mengenainya.
Selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu kedudukan Negeri-negeri Melayu adalah tidak stabil. Ditambah dengan kemunculan semangat kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan di kalangan rakyat jelata. Inggeris sedaya upaya mengekalkan kedudukannya dengan memperkenalkan beberapa sistem pentadbiran seperti Malayan Union pada tahun l946.
Rakyat jelata mengembeling tenaga bersama-sama dengan pembesar-pembesar negeri telah menentang habis-habisan semua sistem Inggeris. Sehinggalah Inggeris mengisytiharkan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu pada tahun l957.
Kemerdekaan Tanah Melayu, bererti kebebasan negeri-negeri gabungannya dan Negeri Perak adalah salah satu dari negeri-negeri tersebut. Perkembangan pesat di semua bidang terus berjalan sehingga sekarang setelah 34 orang Sultan memerintah turun temurun.
Demi mengenang jasa pejuang-pejuang kebangsaan Negeri Perak samada baginda Sultan sendiri mahu pun pengikut-pengikutnya, maka makam-makamnya telah dipulih dan diabadikan serta diisytiharkan sebagai pahlawan tanah air. ZAMAN PRA SEJARAH Negeri Perak mengalami zaman pra sejarahnya yang terbahagi kepada empat bahagian pada keseluruhannya iaitu Zaman Batu Lama (Palaeolithic), Zaman Hoabinhian, Zaman batu Baru (Neolithic) dan Zaman Logam (Metal Age).
Zaman Batu Lama (Paleolitik)
Zaman ini dianggarkan berlaku antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi. Satu-satunya kesan peninggalan ini di Tanah Melayu ialah tapak yang dijumpai di Kota Tampan, Lenggong. Peninggalan zaman ini juga dikenali dengan kebudayaan Tampan di mana peninggalannya merupakan alat-alat batu yang belum sempurna buatannya.
Zaman Hoabinhian
Zaman ini dianggarkan berlaku antara 8,000 hingga 2,000 tahun sebelum masihi. Kesan peninggalannya dijumpai di Gua Badak, Lenggong, Gunung Pondok, Padang Rengas dan beberapa buah gua lagi di Negeri Perak; berupa alat-alat batu yang lebih elok buatannya termasuk lesung batu untuk membuat pencelup merah (haematite).
Zaman Batu Baru (Neolitik)
Zaman ini wujud antara 2,000 hingga 300 tahun sebelum masihi. Kesan-kesan daripada alat-alat peninggalan yang dijumpai di Gua badak, Lenggong dan persekitarannya, Gua Tambun, Ipoh dan lain-lain lagi berkeadaan lebih sempurna dan licin serta dapat dikenali jenisnya. Mereka juga telah pandai menggunakan tembikar untuk memasak makanan dan membuat pondok tempat tinggal. Disamping itu mereka juga telah pandai bercucuk tanam.
Zaman Logam (Metal Age)
Zaman ini ujud antara 500 hingga 200 tahun sebelum masihi. Tempat-tempat yang pernah dijumpai seperti di Changkat Menteri, Sungkai dan Slim River menunjukkan bahawa masyarakatnya telah menggunakan logam seperti gangsa dan besi untuk membuat mata lembing, mata kail dan mata anak panah. Terdapat juga sejenis alat besi yang anih bentuknya yang dikenali sebagai ‘Tulang Mawas’ yang dijumpai tertanam di dalam kubur Batu Ubin.
Zaman Hindu/Buddha
Jumpaan di Kuala Selensing, Perak dianggap sebagai zaman peralihan sebelum Hindu/Buddha, manakala zaman Hindu/Buddha pula merupakan zaman pembukaan lembaran Sejarah Negeri Perak Pengaruh kebudayaan orang-orang India dan kepercayaan Hindu di rantau ini sejak awal kurun masihi lagi telah mengubah sama sekali sistem nilai masyarakat di Tanah Melayu. Jumpaan patung-patung Hindu/Buddha dan beberapa alat pemujaan seperti di Bidor, Jalong dan Pengkalan Pegoh membuktikan wujudnya pengaruh ini. Zaman Kedatangan Islam dan sebelum kesultanan Kerajaan Manjung di Beruas dianggap sebagai Kerajaan tertua di Perak. Selepas lenyapnya Manjung, kira-kira pada awal kurun ke l5 telah wujud Kerajaan Melayu Beruas. Dari bukti-bukti yang terpahat di batu nisan yang ada menunjukkan bahawa sebuah Kerajaan Islam. Adalah dipercayai bahawa Islam datang ke Perak melalui negeri seperti Melaka dan negeri-negeri di Pantai Timur.
Disamping itu Islam telah berkembang hingga ke pendalaman Negeri Perak melalui jalan Sungai Perak. Selain Kerajaan Beruas terdapat kuasa-kuasa pembesar tempatan di Ulu Perak seperti Kerajaan Roman, Tun Saban, To’ Temong dan lain-lain kerajaan yang belum dapat dikesan.
Zaman Kesultanan Titik kegemilangan sejarah Negeri Perak ialah setelah wujudkan sistem kesultanan yang merangkumi kawasan seluas 8,ll0 batu persegi. Pertabalan Sultan Mudzaffar Shah l pada tahun l528 telah membuka lembaran baru ke arah pemodenan.
Kejumpaan bijih timah oleh Cik Long Jaafar di Larut pada tahun l824 telah mencepatkan lagi kemajuan Negeri Perak. Ditambah dengan kemasukan Inggeris pada tahun l874 telah memperkenalkan getah sebagai sumber ekonomi yang baharu. Akibat dari ini banyak imigran terutama kaum Cina dan India datang ke negeri ini.
Dari dua sumber ekonomi di atas di samping sumber ekonomi tradisionalnya, Negeri Perak Darul Ridzuan telah berkembang pesat di bawah naungan 34 orang sultannya hingga sekarang ini.
Penjajahan Inggeris yang berlaku bermula dari tahun l874 telah memperkenalkan beberapa sistem pentadbirannya yang mana akhirnya wujud penentangan terhadap sistem tersebut.
Campur tangan Inggeris Termeterinya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari l874 antara Inggeris dan pembesar-pembesar Melayu Perak telah mengesahkan kekuasaan Inggeris di Perak khasnya dan Negeri-Negeri Melayu amnya. Beberapa faktor mempengaruhi campur tangan ini diantaranya ialah kekayaan bumi Perak sendiri, pergeseran pembesar-pembesar untuk berkuasa dan kacau bilau yang berlaku di Larut antara puak-puak Cina.
Melalui campur tangan ini Inggeris memperkenalkan sistem Residen yang dianggap dapat membaiki sistem pemerintahan tradisional. TEKS PERJANJIAN PANGKOR PADA 20 JANUARI l874 Raja Abdullah diakui sebagai Sultan yang sah menggantikan Sultan Ismail yang akan diberi gelaran serta pencen sebanyak $l,000/- sebulan.
Sultan akan menerima seorang Residen Inggeris yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti dalam segala hal kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.
Semua pungutan dan kawalan cukai serta pentadbiran negeri mestilah dijalankan atas nama sultan tetapi disusun menurut nasihat Residen.
Menteri Larut akan terus berkuasa, tetapi tidak lagi diakui sebagai pemerintah yang merdeka. Sebaliknya seorang Pegawai Inggeris akan dilantik di Larut yang mempunyai bidang kuasa yang luas untuk mentadbirkan daerah tersebut.
Gaji Residen akan dibayar oleh Sultan, bukan dibayar oleh Kerajaan Inggeris. Penentangan terhadap sistem Pentadbiran Inggeris Sistem Residen bukanlah sebagai pembaikan kepada sistem pemerintah tradisional, tetapi dianggap sebagai sistem penindas. Ini disebabkan Inggeris lebih mendapat manafaatnya. Dalam pelaksanaannya pula penyelewengan kuasa telah dilakukan oleh Residen pertamanya J.W.W.Birch. Implikasinya masyarakat pribumi tidak puas hati dan berlakulah penentangan. Di akhirnya J.W.W. Birch dibunuh pada tahun 1875. Walaupun begitu sistem ini diteruskan hingga Jepun bertapak di Tanah Melayu.
Sistem Pemerintahan Residen Kuasa Residen yang diperkenalkan menerusi sistem pemerintahan ala Barat yang dikatakan lebih moden itu didapati serba bertentangan dengan pola pemerintahan tradisional Melayu. Sultan dan Pembesar-pembesar tidak lagi berfungsi sebagai pemerintah mutlak kecuali hal-hal yang bersangkutan dengan ugama dan adat istiadat Orang Melayu sahaja. Justru itu telah berlaku penentangan demi penentangan tetapi sistem ini terus berlanjutan sehingga pendudukan Jepun.
Perang Dunia Pertama – ‘Zaman Meleset’ Walaupun Perang Dunia Pertama yang meletus pada tahun l914 itu berlaku di Eropah, tetapi bahangnya turut dirasai oleh seluruh dunia.
Negeri Perak terlibat secara tidak langsung menerusi hubungan perdagangan antarabangsa dengan ekspot utama bijih timah dan getah aslinya, telah mengalami kemerosotan pendapatan. Implikasinya, seluruh pembangunan terpaksa dibekukan sehingga dunia kembali aman.
Perang Dunia Kedua Bahana Perang Dunia Kedua turut dirasai di Persekutuan Tanah Melayu pada 8 Disember l94l dengan pendaratan tentera-tentera Jepun di Kota Bharu.
Negeri Perak telah jatuh ke tangan Jepun pada l Januari l942 . Pahit getir zaman pendudukan Jepun ini ditanggung oleh rakyat sehingga tahun l945.


Quote cowey 26-5-2013 02:48 PM
hmm bagi aku, cite cam nie mitos jea..
sory yea.. hehehe
Quote nobito 31-5-2013 12:23 PM
cerita kayangan selepas di serang oleh orang2 Luwuk
Quote nobito 31-5-2013 12:26 PM
Raja Di Hilir keturunan Bugis..sebab kawasan Hilir Perak tu jadi tuntutan Sultan Selangor ke 2 sebagai jajahan takluknya...maka wujudlah sistem bertangga
Quote anees~nuhara 29-5-2014 09:09 AM
siapalah bakal menggantikan Sultan Perak sekarang ye...
Quote nobito 29-5-2014 06:13 PM
12. Durian Sebatang, Teluk Intan – Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874

Quote nobito 29-5-2014 07:45 PM
anees~nuhara posted on 29-5-2014 09:09 AM
siapalah bakal menggantikan Sultan Perak sekarang ye...

Raja Nazrin ni kira bertuah sebenarnya dapat jadi Sultan Perak...lepas bapak dia..dia pulak jadi Sultan....

Raja Nazrin dapat langkah Raja Izzudin untuk jadi Raja Muda sebab Raja Izzudin tu kaki pompuan, kaki botol, kaki pukul dan terlibat ngan skim cepat kaya....sama macam arwah Sultan Johor tu.
Quote anees~nuhara 30-5-2014 08:08 AM
nobito posted on 29-5-2014 07:45 PM
Raja Nazrin ni kira bertuah sebenarnya dapat jadi Sultan Perak...lepas bapak dia..dia pulak jadi S ...

tu la...bagus sgt raja Nazrin naik jd sultan...xpnh lak dgr psl gosip keburukan baginda..baginda mmg layak pegang jawatan tu
Quote anees~nuhara 30-5-2014 08:30 AM
Jadual dibawah adalah ringkasan lantikan raja-raja bergelar mengikut tahun:-


Sejak pemerintahan Sultan Perak ke-29 iaitu Sultan Abdul Jalil, hanya seorang waris atau 2 waris Sultan dilantik sebagai Raja Bergelar. Ringkasannya adalah seperti dibawah:
Quote nobito 30-5-2014 11:58 AM
anees~nuhara posted on 30-5-2014 08:08 AM
tu la...bagus sgt raja Nazrin naik jd sultan...xpnh lak dgr psl gosip keburukan baginda..baginda m ...

Kewibawaan raja nazrin x perlu dinafikan..raja2 yg teruk dr keturunan melaka (melayu) dh lama kena cantas masa zaman silam....
Quote anees~nuhara 30-5-2014 12:17 PM
nobito posted on 30-5-2014 11:58 AM
Kewibawaan raja nazrin x perlu dinafikan..raja2 yg teruk dr keturunan melaka (melayu) dh lama kena ...

proud to be PERAKians
Quote nobito 30-5-2014 12:47 PM
anees~nuhara posted on 30-5-2014 12:17 PM
proud to be PERAKians

Bagus la...jelous ktorang yg selangorean ni...kalau ikut negeri selangor pon ada raja2 ikut daerah tp sultan dilantik dr raja yg memerintah k.selangor...

Tradisi ni musnah lepas perang saudara di selangor.
Quote anees~nuhara 30-5-2014 03:35 PM
nobito posted on 30-5-2014 12:47 PM
Bagus la...jelous ktorang yg selangorean ni...kalau ikut negeri selangor pon ada raja2 ikut daerah ...

eh eh eh eh..la...org selangor ke...ngat org perak jugak td
Quote arisa_imamura 31-5-2014 03:59 PM
nobito posted on 31-5-2013 12:26 PM
Raja Di Hilir keturunan Bugis..sebab kawasan Hilir Perak tu jadi tuntutan Sultan Selangor ke 2 sebag ...

keturunan bugis yg mana ye? daeng selili ke? almarhum sultan idris (sebelum almarhum sultan azlan naik takhta) tu keturunan bugis ke?
Quote lanun_darat 5-10-2019 06:40 PM
Up siket      

Lihat semua komen(16)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-11-2024 08:38 AM GMT+8 , Processed in 0.048605 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top