Seorang pembantu taman asuhan kanak-kanak (taska) ditahan kerana memaki hamun anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Perak pada 19 Oktober lalu. Memetik laporan Sinar Harian Online, wanita berusia 32 tahun itu pada mulanya menemani ahli keluarganya yang membuat laporan kemalangan di Pejabat Pertanyaan Trafik. Namun, dalam kejadian yang berlaku pada pukul 11 pagi itu, suspek tiba-tiba naik angin dan seterusnya menghamburkan kata-kata 'police got no manners' dan 'polis bodoh' kepada pegawai dan anggota bertugas. Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Koo Khim, wanita itu ditahan kerana masih menjerit-jerit dan mengeluarkan kata-kata kesat walaupun anggota polis cuba menenangkannya. "Suspek dikatakan telah memaki hamun pegawai polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis semasa membuat laporan. "Polis cuba menenangkan suspek, namun suspek masih bersikap biadab menyebabkan tindakan lanjut diambil. Suspek ditahan serta-merta," katanya. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata di hadapan polis boleh bermalam di dalam lokap jadinya. - CARI
|
ADVERTISEMENT