Mujur cerdik, seorang kanak-kanak perempuan 11 tahun dapat melarikan diri daripada dirogol pemandu kereta sapu di Tembok Panuwasa, Kudat semalam.
Semuanya selepas dia bertindak mencucuk mata pemandu gila seks itu dengan menggunakan batang aiskrim. Memetik laporan Harian Metro, mangsa dikatakan menumpang kereta Perodua Viva berwarna hitam lelaki tersebut untuk pulang ke rumahnya dari pasar. Pun begitu, mangsa dibawa ke Tembok Panuwasa untuk tujuan memuaskan nafsunya. “Suspek mengarahkan mangsa untuk melakukan hubungan seks, namun kanak-kanak perempuan itu enggan dan mengugut akan melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
“Suspek kemudiannya menutup mulut mangsa menyebabkan kanak-kanak itu meronta untuk melepaskan diri. “Mangsa akhirnya berjaya menyelamatkan diri selepas mencucuk mata suspek menggunakan batang aiskrim,” kata Ketua Polis Daerah Kudat. Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah juga berkata, mangsa terus meminta pertolongan orang ramai sebelum membuat laporan polis. “Pemeriksaan awal mendapati, terdapat kesan calar pada mata kanan mangsa selain mengadu sakit di bahagian muka. “Hasil keterangan mangsa, suspek adalah seorang lelaki berusia dengan keadaan muka cengkung, rambut pendek, beruban dan berjanggut,” katanya. Suspek kini sedang diburu pihak berkuasa. - CARI
|
ADVERTISEMENT