Pelawak dan pelakon veteran, AR Badul tidak berpuas hati dengan keputusan lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung kematian anaknya, Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya yang diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan. Memetik laporan BH Online pada 26 September, Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie menggesa inkues dilakukan bagi mengenal pasti punca insiden di mana anaknya meninggal dunia. Dalam kejadian itu, Mohd. Zahir meninggal dunia akibat tertembak ketika melaksanakan latihan keupayaan dalam acara pelancaran Divisyen Kelima Infantri dan Briged Ke-13 Infantri di Kem Lok Kawi, Sabah pada 4 September lalu.
"Saya serta keluarga rasa tidak puas hati dan kecewa dengan keputusan yang dikeluarkan TDM dan mahukan penjelasan yang jelas mengenai punca kematiannya. "Kalau boleh saya mahukan inkues, seperti yang dijalankan terhadap kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim," katanya. Badul menjelaskan bahawa beliau tidak menuduh mana-mana pihak namun berpandangan, keluarga Allahyarham berhak menerima maklumat tentang punca sebenar kejadian tersebut. Terdahulu, TDM dalam satu kenyataan melalui laman Facebook rasminya menjelaskan, lembaga siasatan mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai kejadian terpencil dan kemalangan dalam latihan. Lembaga siasatan turut mendapati peralatan dan senjata yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut dalam keadaan baik. "TDM akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya terhadap individu yang terlibat, sementara standard operating procedure (SOP) dikemas kini jika perlu," jelas kenyataan itu. Selain itu, TDM telah menyokong kenaikan pangkat Mohd. Zahir kepada Leftenan Kolonel dan akan terus menyalurkan bantuan serta faedah yang sewajarnya mengikut kelayakan dalam perkhidmatan. Diharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik antara keluarga Allahyarham dan TDM agar mereka dapat mengetahui punca sebenar kejadian. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|