|
Insiden kemalangan melibatkan sebuah kereta perisai tentera dan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai berlaku di sekitar Seremban pada petang 3 Ogos lalu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen. Video insiden berkenaan yang dirakamkan oleh Abu Firzan Fadzil menjadi tular selepas disiarkan dalam saluran YouTube dan akaun Instagram miliknya. Berdasarkan rakaman video berkenaan, kemalangan berlaku setelah kereta perisai Gempita memasuki lorong kanan jalan berkenaan sebelum merempuh Proton Wira.
Kemalangan itu menyebabkan kereta tersebut mengalami kerosakan pada sebelah kiri dan bamparnya tercabut. Pemandu dan dua penumpang yang keluar dari kenderaan berkenaan dilihat tidak mengalami kecederaan serius. Netizen pula mempunyai pelbagai pandangan berbeza terhadap insiden berkenaan berdasarkan pemahaman masing-masing terhadap prosedur operasi standard (SOP) konvoi kenderaan tentera serta undang-undang jalan raya. Seorang netizen yang mendakwa pernah memandu Gempita mendakwa, SOP menetapkan bahawa kenderaan tentera akan menggunakan laluan kanan semasa berkonvoi di jalan raya atau lebuh raya. Dia juga menjelaskan, kenderaan-kenderaan lain di belakang sepatutnya mengikut arahan jurupandu yang berada di atas kereta perisai. Sementara itu, beberapa netizen lain menyuarakan rasa simpati terhadap pemandu dan penumpang kereta Proton Wira tersebut. Pada pandangan mereka, tidak semua pengguna jalan raya mengetahui SOP berkaitan konvoi kenderaan tentera. Mujurlah kemalangan itu tidak meragut nyawa. Namun, pihak yang bertanggungjawab wajar mendidik pengguna jalan raya tentang SOP berkaitan kenderaan pasukan keselamatan dan pada masa yang sama, pemandu kenderaan tentera wajar bersikap lebih bertimbang rasa terhadap kenderaan-kenderaan yang lebih kecil. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|