|
Pengkaji penerbangan, Jeff Wise muncul lagi dengan teori baharu berhubung misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang berlaku lebih lima tahun lalu. Dalam buku terbaharunya yang bertajuk The Taking of MH370, beliau mendakwa pesawat itu kehilangan tekanan udara selepas dirampas oleh tiga penumpang yang dipercayai dari Rusia. Memetik laporan Daily Star pada 27 Julai, Wise percaya, rancangan itu dilaksanakan bagi mengalih perhatian media massa daripada isu pendudukan Rusia di Crimea pada Februari hingga Mac 2014. Beliau mendakwa, tiga perampas itu menggunakan topeng oksigen yang digunakan oleh penyelam bagi membolehkan mereka bernafas. Dalam bab berjudul A Speculative Scenario, Wise yang juga pengulas CNN menulis, suasana di dalam kabin menjadi hingar-bingar dengan jeritan penumpang apabila tekanan udara jatuh mendadak dan bunyi itu dapat didengar oleh juruterbang dan pembantunya di dalam kokpit. "Kapten dan pembantunya mencapai topeng oksigen mereka tetapi udara tidak mengalir. Apakah yang berlaku? "Tiada apa yang berfungsi. Pembantu juruterbang mendail frekuensi kecemasan, 121.5. Tiada apa-apa. "Dia mendail frekuensi Radio (Kuala) Lumpur. Tiada apa-apa. Telefon satelit tidak berfungsi juga. Kesemuanya. Mereka telah terputus hubungan," tulis Wise. Apabila udara semakin berkurangan di dalam kokpit, juruterbang, Zaharie Ahmad Shah dikatakan cuba pergi ke ruang elektronik dan peralatan kerana mungkin ada masalah di situ. "Dua lelaki yang memakai topeng oksiden menghalang laluan. Dia rebah dan tidak sedar diri," dakwa Wise yang mengkaji insiden kehilangan pesawat jenis Boeing 777-200 itu sejak ia hilang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014. Beliau yakin pesawat itu dirampas ekoran Unit Data Satelit (SDU) yang dibut semula pada pukul 6.25 petang dan seterusnya membawa kepada beberapa pengesahan log masuk rangkaian atau 'handshake' dengan satelit Inmarsat. Situasi itu menyebabkan para penyiasat mempercayai pesawat MH370 berada di Lautan Hindi di perairan barat Australia. "Kesimpulannya, apa yang menyebabkan tragedi MH370 dilakukan oleh mereka yang sangat berkebolehan dalam melenyapkan sebuah pesawat dan mereka berjaya - ini adalah benar walaupun teori saya salah," kata Wise kepada Daily Star. Walaupun teori Wise itu nampak meyakinkan, tiada bukti yang konkrit untuk menyokong dakwaan beliau kononnya rampasan pesawat MH370 benar-benar berlaku. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|