|
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah kononnya beliau mempunyai hubungan sulit dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Memetik kenyataan media yang dikeluarkan pada 11 Julai, pemimpin muda PKR itu merujuk kepada tuduhan yang disiarkan dalam laman Facebook 'Aku Darah Anak Malaysia - ADAM'. Juwairiya menegaskan bahawa tuduhan itu adalah fitnah dan beliau tidak berada di lokasi yang disebut pada tarikh berkenaan. "Pihak saya telah membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan fitnah tersebut yang boleh mencemarkan imej dan kredibiliti saya selaku Ahli Dewan Negeri Selangor serta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. "Saya telah berbincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang," katanya. Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Amirudin pada 10 Julai telah menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan seorang ADUN wanita di Selangor. Beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang berikutan tuduhan yang dibuat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu. Memang wajar Juwairiya dan Amirudin mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama masing-masing daripada tuduhan yang belum tentu sahih. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|