Pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD), Muhammad Harraz Hilmi Mohd Shukri yang dilaporkan hilang pada 10 Jun lalu kini disahkan selamat kembali ke pangkuan keluarganya di Kota Bharu, Kelantan. Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh beberapa netizen dalam Facebook, remaja lelaki berumur 16 tahun itu tiba di Kota Bharu pada 12 Jun. Turut tular melalui media sosial adalah mesej berhubung punca yang menyebabkan pelajar tingkatan empat itu tidak melaporkan diri di MTD dan mengapa dia membuat keputusan pulang ke Kota Bharu. Merujuk kepada mesej berkenaan yang dikongsi oleh ibu kepada seorang rakan remaja berkenaan, selepas turun dari bas di Putrajaya Sentral, Muhammad Harraz Hilmi dikatakan menaiki tren Laluan Rel Ekspres (ERL) ke Stesen KL Sentral. Setelah menunaikan solat zuhur, dia mencari restoran Domino's Pizza untuk menebus kupon namun premis makanan Itali tersebut terletak di luar Stesen KL Sentral dan memerlukannya berjalan ke sana. Ketika dia melalui jalan pintas ke restoran berkenaan, tiba-tiba sebuah kereta Perodua Kancil mendekatinya dan dua individu keluar dari belakang kenderaan tersebut sambil mengacu pisau mengarahkannya masuk ke dalam kereta. Salah seorang daripada individu terbabit menyeluk poket Muhammad Harraz Hilmi dan merampas telefon bimbit serta dompet yang mengandungi wang sebanyak RM150 sebelum kereta itu berhenti dan dia diarahkan turun. Mujurlah, kad pengenalan dan kad ATM miliknya yang berbaki RM50 dalam akaun yang disimpan di dalam fail serta wang RM10 di dalam poket seluar yang lain tidak dirampas. Pada 11 Jun, dia membuat keputusan membeli tiket bas untuk pulang ke Kelantan dan apabila tiba di Kota Bharu, Muhammad Harraz Hilmi meminjam telefon milik seorang individu untuk menghubungi ibunya. Memetik laporan Bernama pada 12 Jun, abang mangsa telah membuat laporan polis berhubung kehilangan adiknya di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, Kelantan untuk tindakan lanjut. Syukurlah Muhammad Harraz Hilmi selamat kembali ke pangkuan keluarga setelah mengharungi pengalaman yang mencemaskan. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|