Raya bakal menjelang, persiapan sudah dibuat termasuklah menyediakan juadah tradisi ketika 1 Syawal nanti. Jika sebelum ini ketupat dan lemang dihidang dengan cara biasa, kini ramai yang lebih menyukai gaya tradisi dengan menggunakan periuk kera sebagai acuan. Memang nampak eksotik, apatah lagi ianya cukup popular dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak hingga ianya tular di Semenanjung akhir-akhir ini. Timbul persoalan, bagaimana tumbuhan periuk kera ini diperolehi dan apakah ianya tidak terancam? Profesor Emeritus Dato. Dr. Abdul Latiff Mohamad telah menyuarakan isu ini yang sebenarnya tidak ramai orang tahu pun. Kenyataannya sangat mengejutkan. Menurut Fatnin, ketupat periuk kera sebenarnya makanan tradisional yang dimakan dalam ahli keluarga kecil sahaja. Namun apabila ia semakin dikenali, ramai mula mengambil kesempatan untuk mencari tumbuhan eksotik ini hingga secara tidak langsung memusnahkan tumbuhan yang semakin pupus ini. Apabila ia diambil dengan rakus tanpa usaha penanaman semula membuatkan potensinya untuk hilang semakin tinggi. Biarpun kesedaran mengenai ancaman tumbuhan liar tidak sehebat krisis kepupusan haiwan, namun adalah menjadi tanggung jawab setiap masyarakat supaya menjaga hidupan alam ini. Pendedahan ini mengejutkan ramai warganet yang langsung tidak tahu tentang ancaman tumbuhan periuk kera ini. Sikap haloba manusia ini akan terus berleluasa jika tidak ada kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga tumbuhan eksotik ini. Selain itu, kurangnya penguatkuasaan badan berwajib juga menyebabkan hal ini terus berlaku sepertimana ancaman terhadap telur penyu, plastik di dalam sungai dan sebagainya. Timbul persoalan mengapa tiada jabatan bertanggungjawab menyedarkan hal ini kepada masyarakat? Ini kerana ketupat atau lemang periuk kera sudah lama dijual ketika musim perayaan tetapi ia seperti dibenarkan. Pelbagai pendapat daripada netizen yang mengatakan ianya sedap dimakan, manakala yang lain pula pernah mencubanya tetapi tidak menyukai rasanya. Lebih menyedihkan ialah periuk kera sebenarnya menjadi tempat permainan kepada haiwan seperti tupai. Jika tumbuhan ini diambil dengan rakusnya, bagaimanakah dengan nasib mereka? Flora dan fauna yang semakin pupus? Jadi, bagaimana? Adakah setelah mengetahui tentang ancaman terhadap periuk kera ini, anda masih bersemangat untuk menyediakan hidangan ketupat dan lemang dalam flora yang makin pupus ini? Tepuk dada, tanyalah hati. - CARI
|
ADVERTISEMENT