Gagal permohonan batal pertuduhan Tian Chua KUALA LUMPUR 26 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak permohonan Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, setelah mendapati tiada merit dalam permohonan tersebut. Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah tidak berpuas hati bahawa terdapat asas yang memadai semata-mata dalam penegasan yang terdapat dalam afidavit Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu itu.
Menurut beliau, terpulang kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan sama ada perkataan 'kerajaan UMNO' itu dirujuk kepada UMNO atau kerajaan sekarang dan hal ini akan diputuskan dalam perbicaraan di mahkamah. Hakim Amelia juga menegaskan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Akta Hasutan akan dimansuhkan namun akta itu masih terpakai sehingga benar-benar dimansuhkan secara teratur. Pada 14 Mac lalu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily. Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya. Tian Chua diwakili peguam-peguam, Eric Paulsen dan Latheefa Koya manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farizul Hassan Bakri. Perbicaraan kes berkenaan akan bermula pada 16 dan 17 Oktober ini. Dalam pada itu, Latheefa mengemukakan permohonan secara lisan untuk menggantung perbicaraan berkenaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun, mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara rasmi bagi tujuan tersebut. Berdasarkan kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan: Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat; Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO; Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah; Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama daripada isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing. |
ADVERTISEMENT