Cuma tinggal dua minggu sahaja lagi kita akan menyambut Aidilfitri, jadi semestinya tradisi balik kampung akan diteruskan oleh anak perantau. Pastinya keselesaan kenderaan diwajibkan terutamanya apabila membabitkan anak-anak. Timbul persoalan, keselesaan yang bagaimana diperlukan apabila kampung halaman sangat jauh hingga memakan masa berbelas jam? Ada yang menyatakan anak-anak perlu tidur supaya mereka tidak penat. Oleh itu, muncul idea supaya tempat duduk belakang dijadikan tempat tidur mereka seperti meletakkan tilam dan bantal seperti di rumah. Bagaimanapun, sebuah portal membidas idea ini yang didakwa membahayakan nyawa kanak-kanak jika berlaku kemalangan. Namun bagi ibu bapa yang mengamalkan cara tersebut pula berpendapat ia sebenarnya adalah cara terbaik supaya anak-anak selesa lalu tidak menganggu pemanduan mereka.
Portal Careta turut mencadangkan beberapa tip untuk ibu bapa lebih berhati-hati tatkala menempatkan anak di dalam kereta seperti memakai tali pinggang atau pun meletakkan bayi di dalam 'car seat'. Namun, cadangannya dipandang remeh oleh segelintir ibu bapa yang menganggap portal itu sebenarnya mencari keuntungan dengan syarikat pengeluar 'car seat. Namun kecaman tersebut dibidas oleh segelintir warga net yang berpandangan orang Malaysia memang cepat lupa dengan tragedi yang kerap kali berlaku ketika menjelang raya. Ini kerana banyak kemalangan yang membabitkan penumpang bawah 12 tahun kerana mereka tidak memakai tali pinggang dan juga kerana di riba semata-mata. Ia menyebabkan golongan ini kerap menjadi mangsa akibat terkeluar dari kereta apabila berlakunya kemalangan. Bagaimanapun, seorang bapa dari Pantai Timur ini turut mengakui ia adalah caranya apabila pulang ke kampung ketika raya. Ini kerana perjalanan yang penuh berliku dan mengambil masa berbelas jam memerlukan kesabaran ketika memandu. Sementelah lagi dengan anak-anak yang masih kecil memerlukannya kreatif supaya anak-anaknya selesa untuk tidur sepanjang perjalanan. Pelbagai pendapat mengenai melapik tilam di dalam kenderaan, ada yang berkata ia wajar dan ada yang berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana keselamatan sangat penting berbanding keselesaan. "Alasan “supaya anak tak ganggu saya memandu” ni kalau rimas anak menangis, susahlah. Semoga
kita semua lebih hargai kehadiran anak sedangkan di waktu yang sama
ramai yang berharap diberikan rezeki mendapat anak. Anak itu rezeki,
amanah. Rezeki yang ada ni taknak jaga seeloknya, jangan merungut DIA
tak bagi rezeki lain. Semoga ubah mindset kita, anak BUKAN satu
gangguan. Safety first." Mungkin akan ada yang mengatakan ia adalah ketentuan Ilahi. Namun seharusnya kita meletakkan takdir setelah berusaha dan melengkapkan ciri keselamatan pada anak-anak. Pengakuan serta tidak mahu menerima pandangan orang lain juga seharusnya dielakkan supaya kita mampu mengelakkan tragedi buruk berlaku apatah lagi tatkala menyambut hari kebesaran Syawal nanti. Moga-moga kita semua menjaga keselamatan di jalan raya. - CARI |
ADVERTISEMENT