Sekiranya anda berhasrat untuk mengunjungi New York City, Amerika Syarikat dalam masa beberapa bulan akan datang, pastikan anda tidak menggunakan aplikasi WhatsApp semasa melintas jalan raya. Mungkin pada masa itu, pihak berkuasa di kota metropolitan tersebut akan menguatkuasakan undang-undang yang melarang penggunaan peranti seperti telefon pintar semasa melintas jalan raya dengan jumlah denda antara AS$25 hingga AS$250. Rang undang-undang berkenaan telah dibentangkan dalam senat negeri New York baru-baru ini. Namun, pengecualian diberikan kepada individu-individu tertentu seperti petugas unit kecemasan, kakitangan hospital atau anggota bomba.
Difahamkan, kira-kira 300 pejalan kaki mati dalam kemalangan di sekitar New York setiap tahun tetapi tidak dapat dipastikan berapa ramai yang maut kerana cuai semasa melintas jalan. Senator John Liu yang membentangkan rang undang-undang berkenaan berazam untuk mengurangkan statistik tersebut. "Ia tidak bermakna anda tidak boleh bercakap di telefon. Kita bercakap tentang peranti yang dipegang dengan tangan... anda boleh menunggu selama lima saat sehingga selesai menyeberang jalan," katanya. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Transport Alternatives, Marco Conner membantah rang undang-undang berkenaan kerana ia tidak disokong oleh bukti yang kukuh. "Kebanyakan nahas jalan raya di seluruh negara melibatkan pemandu kenderaan. Rang undang-undang ini menuding jari terhadap mangsa," jelasnya. Setiap pengguna jalan raya sama ada pemandu kenderaan, penunggang basikal atau pejalan kaki sepatutnya peka dengan keadaan di sekeliling bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kemalangan yang boleh meragut nyawa. -CARI
|
cmf_premierleag replied at 21-5-2019 01:56 PM
baguslah tu
aku merengsa tgk org berjahit henfon kat tangan.time nk melintas pun nk ig story.cth mc ...
ADVERTISEMENT