Di bulan Ramadan ini, semua insan beragama islam pasti tidak mahu terlepas membuat amal jariah kerana ganjaran pahala berlipat kali ganda dapat diperolehi pada bulan mulia ini. Begitulah yang diamalkan oleh tiga beradik ini yang mengusahakan perniagaan kuih-muih dan masih mengekalkan tradisi ibu mereka sejak 18 tahun lalu, iaitu memberi kuih percuma untuk ibu mengandung.
Menurut Shaiful Hafiq, 27, beliau dan dua lagi adiknya Mohd Zulfadhly, 24, dan Mohd Hashiff, 19, mengusahakan perniagaan menjual karipap di bazar Ramadan dan memperuntukkan 500 biji karipap percuma untuk ibu mengandung di kesemua 13 cawangan gerai beliau di seluruh negeri. Amalan yang dilakukan setiap tahun ini adalah sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang dilimpahkan oleh Maha Esa kepada mereka sekeluarga. Menurutnya lagi, ibunya selalu berpesan kepada mereka supaya tidak hanya mementingkan untung semata-mata. Jika hendak berniaga, sebaiknya beri manfaat kepada orang lain, kalau tak lebih baik jangan berniaga. Nasihat yang sentiada diingati dan diamalkan oleh tiga beradik ini menjadikan perniagaan mereka semakin dimurahkan rezeki kerana amalan sedekah itu sendiri menjemput rezeki dengan lebih banyak. Shaiful memberitahu, setiap ibu mengandung yang datang ke gerai mereka akan mendapat tiga biji karipap dan sekurang-kurangnya lima ibu mengandung akan singgah di gerai mereka untuk mendapatkan karipap berinti daging dan ayam secara percuma. Karipap percuma itu boleh diperolehi di lima cawangan di bazar Ramadhan dan lapan cawangan gerai tepi jalan di seluruh negeri. Antara bazar yang terlibat adalah bazar di Changlun dan Taman Suria, Kedah. Apa lagi ibu-ibu mengandung semua? Jangan lepaskan peluang ini ya! - CARI
|
ADVERTISEMENT