“Terus terang, saya tak tahu nak buat apa lagi. Apa yang saya lakukan ada saja tidak kena di mata orang ramai." Sejak kebelakangan ini, pelbagai insiden menimpa penyanyi berusia 18 tahun, As’ad Motawh hingga menjadi bualan ramai.
Walaupun berat ditanggung, As’ad menegaskan dia tidak akan patah semangat biarpun insiden seperti jatuh pentas, dipeluk peminat wanita dan persembahan yang 'krik-krik' tanpa sambutan menghantui dirinya, lapor Harian Metro. “Saya tidak akan mengaku kalah kerana menjadi anak seni adalah impian sejak kecil. Saya tidak akan sesekali membiarkan orang menidakkan apa yang saya cuba capai. “Ketika mula melangkah dalam bidang ini pun ramai yang pertikai kemahuan saya untuk jadi penyanyi. Namun, saya percaya dengan kemampuan diri dan yakin dapat pergi jauh,” katanya yang nekad mengabaikan mulut orang yang memperlekehkan usahanya demi mencapai cita-cita.
Dalam temu bualnya bersama Harian Metro, As'ad meminta jasa baik ramai untuk berhenti melontarkan kata-kata negatif memandangkan dirinya masih muda dan banyak ruang baginya memperbaiki diri. “Buat mereka yang minta saya berhenti menyanyi, cakap saya tak boleh, ingatlah saya masih muda dan perjalanan masih jauh. “Saya tidak kisah apa netizen nak cakap kerana mereka bukan ada dalam industri. Saya lebih teruja dengan sokongan yang diberikan artis senior. “Ini jalan hidup yang saya pilih dan tiada kata-kata yang mampu menghalang cita-cita saya. Kalau diacukan pistol dan disuruh berhenti menyanyi sekali pun, saya takkan lakukannya,” katanya.
|
ADVERTISEMENT