Walaupun bergelar selebriti, David Beckham tetap tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan undang-undang apabila didapati melakukan kesalahan lalu lintas. Memetik laporan Mirror pada 9 Mei, bekas bintang Manchester United itu dilarang daripada memandu selama enam bulan kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu kereta Bentley miliknya yang bernilai 100,000 pound. Mahkamah Majistret Bromley di England turut memerintahkan Beckham membayar denda sebanyak 750 pound. Beckham yang berusia 43 tahun mengaku menggunakan peranti itu ketika memandu di Lebuh Great Portland kira-kira pukul 1 tengah hari pada 21 November 2018 dan perbuatan tersebut dikesan oleh seorang saksi.
Menurut pendakwa raya Matthew Sprat, Beckham didakwa tidak memandang ke hadapan semasa memandu dan melihat sesuatu di atas pangkuannya. Saksi berkenaan menghampiri kereta Beckham dan melihat dia sedang menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Sprat memberitahu, saksi tersebut kemudian mengambil gambar Beckham sedang melakukan kesalahan itu dan menghantarnya kepada pihak polis. Beckham dilaporkan tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dijatuhkan. Ketegasan serupa sepatutnya dilaksanakan di Malaysia kerana masih ramai yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu. - CARI
|
ADVERTISEMENT