Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi sindiran pedas terhadap pihak-pihak yang memfitnah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan beliau berhubung isu berlian merah jambu bernilai kira-kira RM24 juta. Beliau secara sinis bertanya dalam laman Facebooknya tentang siasatan beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi yang didakwa oleh Pakatan Harapan (PH) mempunyai kaitan dengannya. Najib berkata demikian sebagai reaksi terhadap laporan Malaysiakini pada 8 April yang menyatakan, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah mengesahkan bahawa tidak berlaku pembelian berlian merah jambu oleh isteri orang kenamaan (VVIP). Memetik laporan Malaysiakini itu, Amiruddin menjelaskan, seorang ejen telah memberi ikrar dia membawa masuk dan keluar berlian tersebut. Walau bagaimanapun, nama isteri VVIP terbabit tidak disebut oleh Amiruddin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2019 dalam sidang Dewan Rakyat. Amiruddin Hamzah. Kredit foto: Facebook Sementara itu, netizen turut kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan fitnah berhubung isu berlian merah yang akhirnya dibuktikan tidak benar. Sebahagian daripada mereka yang pernah mempercayai fitnah tersebut turut mengambil kesempatan meminta maaf kepada bekas Perdana Menteri itu dan isteri dalam ruangan komen Facebook beliau.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|