Sehingga kini, dunia masih meratapi tragedi tembakan rambang di dua buah masjid di New Zealand sehingga mengorbankan 50 nyawa tidak bersalah pada 15 Mac, bersamaan hari Jumaat. Korban termuda merupakan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun, Mucad Ibrahim yang dilaporkan berlari ke arah pengganas tersebut sewaktu kejadian. Menurut abang Mucad, kanak-kanak itu mungkin menganggap ia hanyalah satu permainan video seperti yang dimainkan oleh abang-abangnya, tanpa menyedari dirinya sendiri bakal syahid, meninggalkan keluarga tersayang.
Sememangnya kejadian ini satu tragedi pilu yang tak dijangka akan berlaku di sebuah negara makmur dan bertoleransi seperti New Zealand. Namun begitu, perlukah kita terus melihat yang negatif sahaja sehingga yang positif diketepikan? Apakah hikmah di sebalik insiden menyayat hati ini?
Di Barat misalnya, lebih banyak pintu masjid kini dibuka untuk mengalu-alukan kedatangan masyarakat bukan Islam untuk belajar tentang Islam. Jika sebelum ini Muslim Council of Britain menganjurkan hari terbuka masjid yang terbesar di UK yang dinamakan 'Visit My Mosque' yang melibatkan 250 masjid dibuka serentak, kali ini lebih banyak masjid dari negara lain yang turut membuat hari terbuka dan mendapat perhatian masyarakatnya. Antara masjid yang menerima ratusan pengunjung bukan Islam semenjak kejadian tembakan di Christchurch adalah Masjid Idris di Seattle, AS. Menurut Elyaa Hammad, program 'Cup of Tea' yang dianjurkan oleh mereka di masjid itu sememangnya menjadi satu acara tetap yang diadakan bagi menjawab segala persoalan bukan Islam tentang Islam dan membantu mereka untuk lebih mengenali agama Islam. Tragedi 15 Mac di Christchurch menyaksikan lebih ramai penganut agama lain hadir di Masjid Idris baru-baru ini, memberi sokongan kepada komuniti Islam selain berbincang mengenai kepercayaan Islam secara terbuka. "Saya ke sini untuk belajar agar saya boleh bantu orang lain faham apa itu ajaran Islam dan apa yang bukan ajaran Islam", kata Shawn O'Neill, salah seorang pengunjung yang tinggal di Meadowbrook, kawasan kejiranan di Seattle. Di Kanada, masjid-masjid mula membuat hari terbuka untuk menerima kunjungan komuniti bukan Islam untuk menjelaskan salah faham tentang ajaran Islam. "Dalam masyarakat yang mempunyai ketakutan, salah faham tentang agama kita, tentang Islam, kita sepatutnya cuba untuk meningkatkan kesedaran yang agama kita ini adalah agama keamanan. Sekiranya ada yang membuat sebaliknya, mereka tidak mengikut ajaran kita," ujar Tariq Azeem yang merupakan imam di Masjid Baitur Rahman di Delta.
Selain di Delta, Masjid Al-Iman dan Masjid Ahmadiyya Muslim Al-Jama'at juga menjadi tumpuan pengunjung bukan Islam di Kanada pada hari terbukanya. Menurut laporan Saanich News, seramai 1000 orang pengunjung telah membanjiri Masjid Al-Iman untuk mempelajari tentang Islam, melihat kawasan masjid, memakai inai dan mencuba memakai hijab. Komuniti Islam di Australia juga tidak terkecuali melaksanakan program seumpamanya bagi menghilangkan prejudis masyarakat bukan Islam tentang penganut Islam, susulan tragedi di Christchurch. Menurut laporan SBS News, sebanyak 21 buah masjid di kawasan Melbourne dan Victoria menerima kunjungan ribuan orang yang ingin berjumpa dengan komuniti Islam setempat, melawat masjid, mencuba tutorial hijab dan berbincang mengenai kepercayaan Islam sambil menikmati juadah yang disediakan.
Di samping menghadiri hari terbuka masjid, masyarakat bukan Islam turut memberi sokongan dan menzahirkan simpati melalui pemberian bunga. Berikut foto masjid-masjid di Kanada, Australia dan New Zealand yang dibanjiri bunga yang dikongsi oleh pengguna Twitter: Tidak dinafikan tragedi ini meninggalkan kesan yang amat mendalam di hati segenap masyarakat yang berbilang kaum. Penganut Islam terutamanya, tersepit dan diburu kerisauan apabila berada di kelompok masyarakat kini. Diharapkan inisiatif masjid dan keinginan masyarakat untuk lebih memahami Islam ini dapat mengecilkan jurang perbezaan di kalangan orang Islam dan orang bukan Islam. - CARI |
duri_durians replied at 19-3-2019 03:12 PM
bagus dorang bersikap terbuka. walaupun berbeza kepercayaan tapi takde masalah untuk masuk ke rumah ...
noor2 replied at 19-3-2019 04:45 PM
Anak lelaki sulung akak umur 17. .bila solat Jumaat dia akan solat di masjid negeri. ..katanya set ...
dodolgemok replied at 19-3-2019 04:29 PM
Takziah semua terlibat. Kalau non moslem masuk sejid di tanah sir, pasti kena halau keluar.
ADVERTISEMENT