"Ini betul-betul rindu sampai salam peluk kawan, tapi pendakap gigi tersangkut pada lengan baju," tulis pemilik akaun Instagram Aiman Azizii."
Majlis perkahwinan gamat dengan gelak tawa sahabat handai apabila pendakap gigi seorang tetamu tersangkut pada busana pengantin lelaki! Bagi mereka yang memakai pendakap gigi, ia mungkin satu kejadian mengerikan apabila pendakap tersangkut pada sesuatu. Pasti ngilu gigi membayangkannya! Namun, kebanyakan netizen sebaliknya terhibur dengan insiden melucukan itu hingga ia tular di laman sosial. Menurut mStar Online, Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Azizi berkata, insiden itu berlaku pada Sabtu lalu ketika majlis perkahwinan rakan mereka dikenali sebagai Nami di Seksyen 23, Shah Alam. Katanya, kejadian berlaku tidak sampai lima minit selepas tiba di majlis. "Bila dah lama tak jumpa, tu yang pengantin peluk sampai terangkat rakan kami, Izlan. Tak sangka pula braces dia tersangkut pada benang songket baju pengantin," katanya kepada mStar. Sementara itu, Muhammad Izlan Iskhan berkata, ia bukan kejadian pertama sepanjang dua tahun memakai pendakap gigi. "Sebelum ini pernah juga tersangkut, tapi kat tuala saja. Tersangkut pada baju inilah yang pertama. "Memang malulah kot sebab berlaku kat majlis kahwin. Terkena pula pada baju pengantin. Rasa bersalah pun ada sebab majlis orang jadi kecoh," katanya berseloroh. Katanya, kebetulan ketika berpelukan, dia sedang menganga menyebabkan pendakap berkenaan tersangkut secara tidak sengaja. Alamak, nasib baik mereka tidak panik. Kalau tidak, boleh tercabut gigi dibuatnya. Yang pastinya, momen ini pasti akan dikenang sampai bila-bila! - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|