|
Anak perempuan aktor Jackie Chan, Etta Ng Chok Lam, 19, dan 'isterinya', Andi Autumn, 31 dilaporkan dihalau dari sebuah hostel di Mong Kok, Hong Kong selepas gagal membayar sewa bilik.
Memetik Shanghaiist, pasangan itu gagal membayar sewa bilik sebanyak HK$2,250 (RM1202.60) selepas lima hari menginap di hostel berkenaan.
Selain mengaku sebagai 'model', pemilik hostel berkenaan langsung tidak mengetahui identiti pasangan itu. Ketika meminta bayaran, Etta hanya mampu memberi sebanyak HK$20 (RM10.69) dan mendakwa itu saja wang yang dia ada ketika itu. Menurutnya, sepanjang mereka menginap di situ, Etta dan selebriti internet warga Kanada itu akan keluar bilik sekitar jam 4 atau 5 petang bagi mendapatkan makanan.
Namun, selepas mereka dihalau keluar dia dapati bilik mereka dipenuhi dengan kotak makanan dan sampah. Dikatakan, pasangan itu kemudian cuba untuk mendapatkan bantuan daripada ibu Etta iaitu bekas ratu cantik, Elaine Ng Yi Lei yang pernah menjalin hubungan sulit dengan Jackie Chan sekitar 1999. Difahamkan, Elaine membawa Etta dan pasangannya ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang. Pada April lalu, ketika masih menetap di Amerika Selatan, pasangan itu dilaporkan memuat naik video di saluran YouTube bagi meminta bantuan orang ramai dengan mendakwa mereka mungkin kehilangan tempat tinggal kerana ibu bapa tidak menerima perhubungan terlarang mereka itu. Sementara itu, dalam temu bual bersama Apple Daily, Etta menegaskan tidak mahu ada kaitan lagi dengan bapanya. Malah, dia mendedahkan ingin mengambil anak angkat dan memulakan keluarga bersama Andi. "Saya tidak pernah menjadi seorang 'Chan'," katanya. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|