PASIR MAS 18 Sept: “Sudah puluhan bomoh saya temui, namun sehingga kini anak gadis saya masih gagal ditemui. Semoga anak saya ditemui selepas disiarkan akhbar,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Siti, 43, mengenai kehilangan anak gadisnya, Nur Arlis Amanina, 14, sejak 21 Mac lalu.
Siti berkata, kehilangan anaknya, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim Satu itu disedari suaminya yang mahu mengambilnya dari sekolah pada jam 2 petang. Katanya, selepas menunggu lebih satu jam, suaminya menghubungi pihak sekolah, namun dimaklumkan anaknya tidak masuk kelas. “Menyedari keadaan itu, saya bersama suami mencari di merata tempat termasuk rumah saudara-mara dan kawan-kawannya, tetapi gagal lalu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada hari sama,” katanya.
Ibu mangsa juga berkata, kali terakhir anaknya keluar rumah dilihat memakai pakaian sukan sekolah ungu dan kuning, berseluar biru serta tudung putih. Katanya, anaknya juga dipercayai membawa dua helai baju yang disembunyikan dalam beg sekolahnya sebelum menghilangkan diri. “Saya bimbang jika dia ditimpa sebarang kejadian tidak diingini kerana usianya masih mentah dan mudah diperdaya orang yang berniat jahat. “Orang ramai yang pernah melihatnya atau mengetahui lokasinya diminta untuk menghubungi saya di talian 014-6078011,” katanya.- Harian Metro |
ADVERTISEMENT