Hospital Barah Universiti Peking dikatakan memerlukan darah 100 orang wanita yang masih dara berumur 18 sehingga 24 tahun untuk beberapa kajian mengenai Virus Papiloma Manusia (HPV), lapor akhbar China Daily. HPV lazimnya berjangkit melalui hubungan kelamin. Sebahagian pengguna internet mengutuk usaha yang dilakukan ini sebagai cubaan mempromosikan penjagaan dara dan merendahkan maruah wanita. "Lelaki teruna tidak diperlukan, hanya wanita sahaja. Sains apakah ini?" soal seorang pengguna di laman perkongsian sosial, Sina Weibo. Pihak hospital itu bagaimanapun mempertahankan usaha untuk mendapatkan sukarelawan dengan menyatakan bahawa darah wanita yang masih dara kurang dijangkiti HPV. "Langkah itu sejajar dengan amalan antarabangsa untuk mengumpul sampel darah wanita dara yang berkhidmat sebagai kawalan negatif dalam kajian HPV. "Usaha ini dilakukan memandang risiko dijangkiti HPV adalah rendah dalam kalangan wanita yang tidak pernah mengadakan hubungan seks," kata jurucakap hospital, Guan Jiuping. - AFP
|
ADVERTISEMENT