TELOK KEMANG – Sebuah kamus yang mengandungi loghat Negeri Sembilan dan Bahasa Melayu akan diterbitkan untuk menjadi sumber rujukan terutamanya kepada generasi Y di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Abd Razak Ab Said berkata, usaha menerbitkan kamus loghat Negeri Sembilan dilaksanakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Negeri Sembilan bersama
Lembaga Muzium Negeri Sembilan serta pakar dan pengkaji bahasa dan budaya Negeri Sembilan.
“Setakat ini proses menerbitkan kamus sudah melepasi 90 peratus apabila 3,500 loghat atau dialek Negeri Sembilan berjaya dihimpunkan. Malah ia turut merungkai loghat di setiap daerah dan pelosok negeri ini,” katanya.
Abd Razak berkata, selain memartabatkan bahasa, adat dan budaya, pendekatan itu juga adalah untuk memberi pemahaman kepada orang ramai terutamanya generasi Y di negeri ini bagi mengelak berlaku insiden memperlekehkan adat dan budaya Negeri Sembilan.
“Perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak faham bahasa, adat dan budaya negeri ini.Apabila ada bahan rujukan seperti ini, kejadian seumpama itu dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Bazar Seni Industri Budaya dan kembara Budaya Badan Bukan Kerajaan Zon Selatan 2013 di Dataran Sri Kemang, kelmarin.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah JKKN, Negeri Sembilan, Mohd Radzi Omar.
Abd Razakberkata, usaha memartabatkan bahasa tempatan perlu dilakukan secara agresif dan kreatif agar ia tidak hilang ditelan zaman.
“Kita boleh mengadakan program santai seperti pertandingan menulis esei, bercerita, lakonan, drama dan sayembara puisi serta sebagainya dengan menggunakan loghat Negeri Sembilan.
"Ini sekali gus dapat memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|