Sudah agak lama kita tidak mendengar kes berkaitan bas ekspres sama ada tragedi kemalangan atau pun isu dengan penumpang. Namun, sebenarnya masalah ini tetap berlaku cuma tidak disebarkan oleh media masa mungkin kerana penumpang cuma berdiam diri sahaja, kononnya malas mahu memanjangkan isu. Namun tidak bagi netizen ini, Ilman Saldi yang ditumbuk oleh dua pemandu bas ekspres hanya kerana dia bertanya soalan "Kenapa lambat sampai?" Menurut Ilman, selepas menanti selama sejam, barulah bas tersebut sampai di stesen minyak Gambang. Lalu dia bertanya kepada pemandu tersebut kenapa lambat sampai dan diberi jawapan mereka mengisi minyak. Seterusnya pemuda ini menaiki bas tersebut lalu duduk. Namun pemandu tersebut seakan tidak berpuas hati dengan pertanyaan itu lalu menyuruh Ilman turun daripada bas. Namun Ilman hanya berdiam diri kerana haknya untuk berada di dalam bas tersebut hinggalah dia ditumbuk oleh seorang pemandu lain menyebabkan bibirnya pecah dan tangannya luka.
Setelah sampai di Kuala Lumpur, Ilman membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut. Bagaimanapun, apa yang dikesalkan oleh Ilman ialah sebaik sahaja laporan dibuat, seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Kuantan menelefonnya memarahinya kerana bertanya 'soalan bodoh' kepada pemandu bas. Ilman juga sempat bertanyakan petugas kaunter di stesen Terminal Bandar Selatan (TBS) dan mengejutkan rupa-rupanya isu ini sudah banyak kali berlaku tetapi tiada tindakan diambil kepada pemandu dan bas ekspres tersebut. Setelah membuat aduan kepada Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan respon yang diterima adalah kes berkenaan dibawah selian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Manakala di TBS pula, polis bantuan telah menyoal pemandu dan alasan diberi adalah pemandu kedua sakit jantung, jika dia tidak menumbuk Ilman, maka Ilman yang akan menumbuknya dahulu. Selain itu, Ilman tidak menunjukkan salinan tiket kepadanya sedangkan ia diwajibkan, namun dinafikan oleh Ilman.
Tidak mahu berdiam diri, Ilman juga membuat aduan kepada peguam yang akan menghantar surat tuntutan permohonan maaf dan pampasan. Tempoh diberi untuk pihak syarikat bas tersebut respon adalah 14 hari. Status Ilman menarik perhatian ramai kerani berani memperjuangkan haknya. Malahan ramai netizen mengadu mengalami masalah sama dengan syarikat bas sama yang langsung tidak berdisiplin. Ternyata banyak juga kes membabitkan syarikat bas yang tidak beretika dialami oleh penumpang. Namun kerana tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa membuatkan kes sebegini dipandang sepi. Oleh sebab itu, sebagai pengguna, semua perlu bersatu mempertahankan hak untuk mendapat perkhidmatan yang baik serta tidak dijadikan 'punching bag' oleh pihak yang tidak bertanggung jawab. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|