Kreatif nya ALOR SETAR - Tidak sampai tiga hari selepas batu besar di Taman Negara Pulau Pinang, dekat sini, dikesan diconteng oleh individu tidak bertanggungjawab, beberapa bangunan di bandar raya ini turut mengalami nasib serupa. Budaya vandalisme ini seakan-akan kian menjadi-jadi berikutan dianggap perkara remeh dan tidak menjejaskan kebanyakan pihak, sehingga membuatkan tindakan individu terbabit tidak lagi dapat dikawal dan makin berleluasa. Malah, lebih teruk ada individu merosakkan harta benda awam terutamanya tandas dengan mencabut paip, membuang sampah, merosakkan pintu dan tombolnya sehingga mengakibatkan ia tidak boleh digunakan. Tinjauan mendapati ada ‘tangan nakal’ yang sesuka hati menconteng mahupun menyembur cat dengan pelbagai bentuk lukisan dan tulisan yang mencemarkan imej bandaraya Alor Setar. Seorang pengunjung enggan dikenali berkata, gejala menconteng termasuk perkataan ‘lucah’ terus menjadi-jadi berikutan individu terbabit kurang kesedaran dan tidak mahu ambil peduli mengenai kesannya. “Saya sendiri pernah melihat sepasang remaja melukis bentuk ‘hati’ dan menulis nama masing-masing seolah-olah bangga berbuat sedemikian, sedangkan perbuatan itu mencacatkan pemandangan. Walaupun ditegur namun masih berdegil dan meneruskan contengan,” katanya. Katanya, harta benda awam termasuk pintu, dinding dan tandas sering kali menjadi mangsa golongan tertentu terutamanya kumpulan remaja yang sengaja menconteng tulisan untuk menunjukkan daya kreativiti mereka. Manakala, Tan Veen Dee, 18, berkata, dia tidak selesa untuk menggunakan beberapa tandas awam di bandar raya ini berikutan keadaan kebanyakannya tanpa tombol pintu, ‘flash’ yang rosak dan penutup mangkuk tandas dipecahkan. Katanya, lebih menyedihkan apabila pintu tandas dipenuhi contengan tulisan individu tidak bertanggungjawab. "Tindakan vandalisme ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri perbuatan terbabit boleh mengundang bahaya kepada mereka. “Sebagai contoh, apabila seorang kanak-kanak bermain dengan peralatan taman permainan yang rosak tanpa disedari mereka, berkemungkinan boleh mengalami kecederaan akibat terjatuh,” katanya. Sementara itu, Liah Taib, 60, berkata, gejala vandalisme berkenaan akan memberi imej tidak baik kepada orang awam khususnya masyarakat, malah menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka. Justeru, katanya, pihak berkenaan diharap dapat memantau dan mengambil tindakan segera sebelum ia menular ke tahap lebih serius dan menyebabkan kerugian kepada semua pihak. "Sebaiknya, semua pihak termasuk penduduk memainkan peranan tanpa meletakkan tanggungjawab menangani gejala ini di bahu satu pihak supaya ia dapat ditangani sebaik mungkin," katanya.
|
4
Bagus |
2
Marah |
8
Terkejut |
2
Sedih |
7
Lawak |
1
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
ADVERTISEMENT