Pekan, 11 September : Hanya empat murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Belimbing di sini, semalam, meneruskan tradisi antara sekolah paling sedikit murid menduduki peperiksaan itu setiap tahun. Guru Besar SK Belimbing Sheikh Ahmad Shakhri Sheikh Zakaria berkata, sejak 2008 jumlah murid mengambil UPSR tidak lebih enam orang dan yang terendah pada 2009 dan tahun lalu, hanya dua murid. Katanya, SK Belimbing yang didirikan lebih 50 tahun lalu, kini mempunyai 26 murid membabitkan murid prasekolah hinggalah tahun enam. “Terletak di kawasan pedalaman dan penghijrahan penduduk sejak beberapa tahun lalu menjadi antara faktor jumlah murid berkurangan setiap tahun. “Bagaimanapun kekurangan murid memberi kelebihan kepada 14 guru memberi sepenuh tumpuan mengajar dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar terutama yang menduduki UPSR,” katanya.
Beliau berkata, pada 2011 seorang murid memperoleh keputusan 5A manakala lima 4A dan 1B. “Sasaran kita tahun ini seorang murid mendapat 5A dan tiga lagi 4A dan 1B. Kelemahan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menjejaskan peluang mereka untuk mendapat keputusan cemerlang. “Pihak sekolah akan berusaha meningkatkan pencapaian murid bagi membuktikan terletak jauh di pedalaman bukan halangan meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan,” katanya. Murid, Muhammad Armizi Abd Razak, 12, yang mendapat 4A dan 1B ketika peperiksaan percubaan, berkata, dia berjaya menjawab semua soalan dengan baik dan berharap mendapat keputusan cemerlang nanti. Rakannya, Nur Fatiha Mohd Johari berkata, dia bersyukur dapat menjawab semua soalan pada hari pertama peperiksaan semalam. “Saya berharap dapat terus menjawab semua kertas esok (hari ini) dan Khamis,” katanya.
|
ADVERTISEMENT