Kisah dukun menipu bukan sahaja berlaku di negara ini, sebaliknya ia turut berleluasa di tempat lain seperti di negara-negara Afrika. Dikatakan seorang wanita di Guinea yang mengaku dirinya seorang dukun dan membuatkan kira-kira 700 wanita percaya bahawa mereka telah hamil, ditahan oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan BBC, dukun tersebut, N’na Fanta Camara, memperdaya wanita yang sukar untuk hamil dengan memberikan mereka ramuan campuran herba dan ubat-ubatan. Ramuan itu akhirnya membuatkan perut menjadi kembung, sekali gus membuatkan mereka percaya bahawa mereka sedang mengandung. Ratusan mangsa Camara itu berusia antara 17 hingga 45 tahun. Bukan itu sahaja, untuk ‘pertolongan’ itu, mangsa dikenakan bayaran berjumlah AS$33 (RM130), sedangkan golongan yang terpedaya itu secara purata mendapat pendapatan hanya AS$48 (RM190) sebulan. “Sudah setahun sejak saya bertemu dengannya untuk mendapatkan ramuan tersebut. Pada awalnya, dia memberi saya ubat-ubatan daun herba yang membuatkan kami muntah.
“Dia bagaimanapun meyakinkan kami bahawa ia selamat dan bagus untuk kesihatan. “Semakin lama kami minum ramuan itu, perut kami jadi kembung. Kami kemudiannya akan merujuk kepadanya. Dia akan menyentuh perut kami dan mengisytiharkan kami mengandung,” kata seorang mangsa. Bagaimanapun, selepas diperiksa oleh doktor, kesan fizikal perut yang disangka hamil itu sebenarnya komplikasi dalaman akibat kandungan ramuan Camara yang memudaratkan. Ketika disoal siasat oleh polis, Camara mendakwa tujuan utama di sebalik perbiatannya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan. Kes itu kini sudah tular ke seluruh Afrika dan rantau berdekatan, dengan gambar perut mangsa yang menderita dipamer dan menjadi bualan umum. - CARI
|
ADVERTISEMENT