JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah mendaftarkan rendang sebagai warisan budaya negara itu di Unesco, kata Ketua Pengarah Pengembangan Destinasi Pelancongan, Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Achyaruddin.
"Makanan tradisional dari Sumatera Barat ini didaftarkan di Unesco pada tahun 2010 dengan nombor pendaftaran 776," katanya ketika menghadiri Festival Rendang di Padang, pada Rabu.
"Kalau ada yang berani mengaku sebagai pemilik warisan budaya yang telah ditetapkan Unesco, maka negara yang berkenaan boleh dituntut (didakwa)," katanya.
Sementara itu, Timbalan Gabenor Sumatera Barat Muslim Kasim berkata Festival Rendang yang diadakan Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Sumatera Barat tersebut merupakan usaha untuk mempertahankan masakan tempatan.
"Rendang salah satu kuliner yang harus dipertahankan oleh masyarakat Sumatera Barat," kata Muslim di Padang.
Beliau berkata festival rendang itu bukan sekadar berkaitan kreativiti memasak, tetapi lebih sebagai usaha masyarakat Sumatera Barat untuk mengembangkan budaya bangsa.
Muslim berkata masyarakat Sumatera Barat cukup berbangga dengan masakan rendang yang kini menjadi antara makanan paling lazat di dunia. "Masakan khas Sumatera Barat ini selalu menjadi menu favorit (kegemaran)restoran Padang yang tersebar di Nusantara mahupun di peringkat antarabangsa," kata Muslim.
Beliau berkata yakin masakan rendang akan dapat dikembangkan menjadi industri yang boleh meningkatkan ekonomi.
"Apalagi bila dikemas dalam berbagai rekaan dan variasi, ia akan meningkatkan daya tarikan sehingga orang akan membeli. "Rendang adalah jenis makanan yang boleh tahan lama dan awet, dibuat tanpa bahan pengawet," katanya. - BERNAMA
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|