Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan kadar jumlah simpanan asas ke tahap lebih tinggi bermula tahun depan, selaras dengan peningkatan kos sara hidup serta jangka hayat rakyat Malaysia.
Keputusan untuk meningkatkan jumlah itu adalah bertujuan untuk membolehkan kira-kira enam juta ahli KWSP yang aktif mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM196,000 menjelang umur 55 tahun.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Ibrahim Taib, berkata berikutan semakan kadar terbabit, ahli perlu mempunyai simpanan lebih tinggi bagi membolehkan mereka menyertai Skim Pelaburan KWSP.
Beliau berkata, 71.51 peratus daripada 225,576 ahli yang berusia 54 tahun pada 2012 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dan ia dilihat tidak mencukupi untuk menampung kehidupan selepas persaraan.
“Rasional peningkatan ini adalah bertujuan untuk memastikan ahli mempunyai simpanan mencukupi bagi membiayai keperluan asas apabila bersara seperti penjagaan kesihatan.
“Ia juga selaras dengan purata jangka hayat rakyat negara ini mencapai 75 tahun serta selaras dengan kadar pencen minimum sektor awam iaitu RM820 dan melepasi paras garis kemiskinan iaitu RM800.
“Bagaimanapun, ahli masih lagi dibenarkan untuk melabur 20 peratus daripada jumlah yang melebihi simpanan asas mengikut umur di institusi pelaburan dana diluluskan Kementerian Kewangan,” katanya ketika sesi taklimat media di sini, semalam.
Ibrahim berkata, kadar simpanan asas baru itu sudah ditanda aras dengan pencen minimum semasa pekerja sektor awam agar pendapatan bulan ahli tidak jatuh di bawah garis kemiskinan.
Berkuat kuasa awal bulan ini juga, pekerja yang berumur sehingga 60 tahun akan menerima caruman KWSP 12 peratus daripada majikan atau 13 peratus bagi pekerja yang bergaji bulanan RM5,000 ke bawah dan caruman pekerja kekal sebanyak 11 peratus.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|