Pernah dengar mutiara kata ini – “Anda tak boleh dapat semua dalam satu masa” atau “You lose some, you win some.” Hidup ini ibarat bermain jongkang-jongkit. Kejap di atas kejap di bawah. Setiap benda itu ada lawannya. Begitulah kehidupan.
Apatah lagi dalam keadaan ekonomi serba gawat ini, semakin banyak syarikat dan bisnes yang sakit. Bahkan sudah nazak menanti untuk ditalkinkan. Maka satu persatu pekerja akan mendapat ‘surat cinta’ terakhir dari syarikat. Ibarat bercerai kasih talak tiada, mereka diminta meninggalkan syarikat sama ada dengan pampasan atau tanpa pampasan (jika ada kes disiplin). BISNES GULUNG TIKAR Bukan sahaja yang bekerja, yang berbisnes pun ada yang mula bercadang untuk gulung tikar. Untung tidak seberapa, sedangkan kos operasi makin mencanak. Maka untuk menyelamatkan poket, syarikat atau bahagian perlu ditutup. Ramai juga yang memilih untuk berniaga secara online di rumah. Pada saat kita dilanda masalah di tempat kerja atau pun dalam perniagaan, kita akan berfikir bahawa ‘berhenti’ bukanlah jawapannya. "Usah putus asa," acapkali kita akan diberi nasihat ini tatkala sedang berhadapan dengan masalah.
Benarkah kita perlu bertahan? Jika kapal terbang sedang terbakar ekornya, apakah kita tidak mahu terjun sedangkan payung terjun sudah tersandang di bahu kita? Apakah kita mahu terhempas sama? Tepuk dada tanya hati. Tolak tepi tentang segala beban kewangan yang akan anda hadapi sekiranya anda berhenti kerana hidup anda yang sedia ada ini pun sudah cukup membebankan. Sebelum darah anda naik dan dapat strok, mungkin anda perlu fikirkan sesuatu. 5 TINDAKAN WAKTU SEDANG DIUJI 1. Berhenti sejenak Berhenti sejenak ini lebih baik daripada berhenti terus. Misalnya ambil cuti panjang, cuti tanpa gaji, cuti sakit dan sebagainya. Berehat, bertenang dan berfikirkanlah mengenai masalah yang sedang anda hadapi dan cari jalan penyelesaiannya. 2. Cari Peluang Ramai orang yang secara kebetulan sudah rezekinya mendapat peluang lain sewaktu dia sedang mengalami masalah di tempat kerjanya. Jika anda takut, anda mungkin akan sering terdengar mengenai bidalan, “Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.” Bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa pintu rezeki Allah itu maha luas dan banyak cabangnya. 3. Fokus Pada Kerja Yang Menguntungkan Steve Jobs pernah menutup operasi syarikatnya dan membuatkan 3000 orang hilang pekerjaan. Pada tahun 1997, Apple menghadapi persaingan yang kuat dari Microsoft. Sebagai CEO Apple, Steve Jobs telah melakukan banyak perubahan yang membawa kepada kejayaan syarikat. Semasa Jobs campur tangan, hanya empat produk utama sahaja yang diberi tumpuan. Untuk anda yang sedang terumbang-ambing, fokuslah pada kerja yang paling menguntungkan atau yang paling anda mahir lakukan. Usah buang masa melakukan perkara yang anda tidak tahu. Sebaiknya, carilah peluang untuk memasarkan kemahiran anda dan tuju kepada orang yang benar-benar mampu bayar. Misalnya membuat kerja sub-kontraktor bagi sektor kerajaan. 4. Tutup buku lama, buka buku baru Benar bila kita berhenti kerja atau meninggalkan kerusi empuk di pejabat, mungkin kita akan berasa kalah atau malu (bergantung kepada penerimaan masing-masing). Saya sendiri pernah mengalaminya dan memang saya ada rasa sedikit kalah kerana saya masih ada sasaran 2 tahun lagi sebelum bersara. Tetapi hakikatnya takdir Allah itu yang terbaik buat saya. Rupa-rupanya saya perlukan masa dua tahun untuk menyiapkan diri sebelum benar-benar serius dalam bisnes. Bayangkan kalau baru tahun ini (2017) saya berhenti atau diberhentikan, tentu saya tidak mampu bersedia dengan lebih baik kerana keadaan ekonomi sudah semakin dahsyat. Sebenarnya hal ini berkait-rapat dengan penyesuaian diri yang perlu kita lakukan. Dengan hidup dan kerjaya baru, kita akan lebih bijak menguruskannya kerana kita bermula daripada ‘0’. Saat inilah kita menentukan visi dan misi kita. Tetapkan perancangan yang perlu disusun dan berusahalah perlahan-lahan sampai berhasil. 5. Ukur baju di badan sendiri Usah terlalu ghairah membuat sesuatu yang ‘besar’ kerana belum tentu kita mampu melakukannya. Ada banyak kekangan yang perlu kita fikirkan. Khususnya kita tidak ada ‘manpower’ seperti sewaktu kita bekerja dulu. Ramai yang saya dengar mahu ‘mencabar’ syarikat tempat dia bekerja dahulu. Hakikatnya kita di luar ini bukanlah untuk berlawan dengan sesiapa tetapi dengan diri sendiri. Cabar dulu keupayaan diri sebelum berani mencabar orang lain. INGAT INI! Yakinlah bahawa Allah tidak menjadikan kita ini makhluk yang sia-sia. Setiap manusia itu ada rahmatnya meski pun kepandaiannya hanyalah mengalunkan doa syahdu. Ingatlah 4 perkara ini yang akan membantu anda berjaya tidak kira apa pun yang anda usahakan. a. Percaya pada diri sendiri sebelum anda mahu orang lain percayakan anda. b. Berikan kualiti kerja yang terbaik setiap kali anda diberi tugasan. c. Serahkan sepenuh jiwa anda dengan kerja yang dilakukan seolah-olah ia nyawa anda. d. Tawakal dan berserah pada Allah kerana Dia yang menentukan rezeki anda, bukan orang lain. Semoga berhasil dalam meneruskan kerjaya atau bisnes baru kepada sesiapa sahaja yang sedang diuji. Jumpa lagi. Liza Ali
|
13
Bagus |
10
Marah |
7
Terkejut |
7
Sedih |
9
Lawak |
12
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
ADVERTISEMENT