Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) kelima, hari ini (Sabtu).
Istiadat pemasyhuran berlangsung pada Istiadat Konvokesyen ke-86 UiTM di kampus induk Shah Alam, sekali gus menyaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh mempersembahkan watikah pemasyhuran kepada baginda. Memetik BH Online, baginda melahirkan rasa gembiranya dapat bersama dengan warga UiTM. "Beta berasa amat gembira, kerana dapat bersama warga UiTM, ketika universiti sedang melangkah ke arah merealisasikan hasrat, untuk menjadi sebuah universiti unggul, bertaraf dunia menjelang 2020.
"Hasrat ini perlu disokong dan diterjemahkan, agar ia menjadi kenyataan yang lebih relevan dan bermakna setelah UiTM melalui 60 tahun penubuhannya," titah baginda. Sultan Muhammad V juga berbangga serta bersyukur diberi kesempatan menabur bakti kepada UiTM, sebuah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai sejarah perjuangan cukup panjang. "Perjuangan dan peranan yang telah dan sedang dilaksanakan UiTM dalam melakukan transformasi sosial amat menakjubkan. "Beta berbangga dengan peranan besar yang dimainkan UiTM dalam melahirkan modal insan Bumiputera berkualiti, cemerlang dan terbilang. "Beta percaya, jika suatu bangsa ingin mengubah atau berhadapan dengan cabaran, mahu mengatasi cabaran dengan jayanya, maka aset yang paling penting adalah sumber manusia berilmu pengetahuan," titah baginda. - CARI |
ADVERTISEMENT