AYER KEROH - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengambil tindakan sita terhadap 1,989 jenis barangan membabitkan sejumlah RM15,005 ketika operasi khas sempena Aidilfitri. Buah yang sudah busuk tetapi masih dijual di sebuah pasar raya ketika operasi dijalankan semalam. Operasi bermula 22 Julai dan berakhir semalam dijalankan serentak di ketiga-tiga daerah di negeri ini membabitkan pemeriksaan di pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pasar. Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Ismail Ali berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan adalah menjual makanan telah luput tarikh serta makanan tin kemek atau berkarat. Menurutnya, tindakan turut diambil terhadap makanan tidak mempunyai label sehingga menimbulkan keraguan, serta kegagalan menyatakan nama dan alamat pengimport bagi barangan diimport. “Operasi ini dijalankan bagi memastikan pengusaha tidak mengambil kesempatan menjual barangan tidak elok kepada pengguna terutama semasa orang ramai berpusu-pusu membeli barangan sebagai persiapan hari raya. “Pada masa sama, ia melindungi pengguna dari kemudaratan kesihatan serta penipuan," katanya ketika turut serta bersama anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menjalankan pemeriksaan di dua pasar raya terkemuka di Peringgit. Sementara itu, Ismail berkata, sehingga tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 3,976 barangan telah disita membabitkan nilai RM30,930 kerana menyalahi Akta Makanan 1983. Manakala, operasi di bazar Ramadan pula menyaksikan empat gerai diarah tutup kerana gagal mematuhi peratuhan ditetapkan.
|
ADVERTISEMENT