Oleh : Dean BZ
Hos HLIVE, Dahlia Shazwan dengan bakal suaminya, Shafiq Ismet.
Pengacara jelita yang popular menerusi rancangan HLIVE, Dahlia atau nama sebenarnya Dahlia Shazwan Mohd Amin, 28, bakal menamatkan zaman solo bersama kekasih hatinya Shafiq Ismet, pada 23 Julai ini.
Dahlia memutuskan untuk berkahwin dengan pemuda yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu itu dalam sebuah majlis yang bakal diadakan di ibu kota. Pasangan berkenaan seterusnya akan diraikan dalam majlis persandingan, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 31 Julai ini, tulis Berita Harian.
HLive juga akan menyiarkan dua episod istimewa kisah perkahwinan Dahlia dan Shafiq menerusi program diberi judul Menuju Halal. "Kerja kahwin bukan sesuatu yang mudah. Saya sendiri memang berasa gementar menjelang hari berkenaan, tetapi pada masa sama saya mengharapkan penamat yang indah. "Apa yang lebih penting ialah fasa selepas saya berkahwin nanti," katanya yang akan menggayakan busana rekaan Hatta Dolmat pada majlis pernikahan, manakala bagi majlis resepsi pula rekaan Ashraf Zainal menjadi pilihannya. Dahlia yang juga seorang penerbit memulakan dunia pengacaraan selepas menyertai rancangan pencarian bakat On Air musim pertama, kendalian Datuk Aznil Nawawi. Walaupun tersingkir lebih awal, dia itu tidak menoleh ke belakang apabila menerima tawaran daripada personaliti televisyen berpengalaman, Suhaimi Sulaiman, yang waktu itu bertugas sebagai Ketua Pengarang Rangkaian Berita, Astro Awani. Selepas menamatkan latihan, graduan Diploma Komunikasi Am diambil bertugas sebagai wartawan penyiaran dan kemudiannya diletakkan di bawah program infotainment, Gala TV. Tahniah kami ucapkan buat bakal pasangan pengantin ini, perkara baik sebegini sememangnya harus dicepatkan. Semoga segala persiapan berjalan dengan lancar. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|