KUALA LANGAT - Dalam masa tidak sampai 15 saat, pemilik sebuah stesen minyak kerugian RM8,300 selepas premisnya di Batu 7, Sijangkang dirompak sekumpulan penjenayah, malam kelmarin. Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pemilik stesen minyak itu bersama dua pekerjanya sedang bersiap untuk menamatkan operasi sebelum didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal. Salah seorang suspek mengacukan parang ke arah pemilik stesen minyak dan merampas bungkusan plastik mengandungi wang hasil jualan berjumlah RM8,300 sebelum melarikan diri ke arah Klang. Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, stesen minyak itu sudah dua kali dirompak sebelum ini dipercayai dilakukan kumpulan sama. “Kumpulan ini menjadikan stesen minyak di tempat yang sunyi sebagai sasaran rompakan," katanya Beliau berkata, siasatan awal ke atas salah sebuah motosikal Honda EX5 yang dinaiki suspek mendapati cukai jalan motosikal itu sudah tamat tempoh dan nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu. “Saya menasihatkan pemilik stesen minyak supaya memasang CCTV di premis mereka bagi memudahkan pihak polis membuat pengecaman," katanya. Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata.
|
ADVERTISEMENT