|
GERIK: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Melaka bebas membuat perbincangan dengan mana-mana gabungan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya memberi kebebasan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk berunding mencari titik persefahaman dalam menerajui negeri itu. "Saya telah memberikan kuasa kepada Ketua Menteri Melaka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja dan gabungan parti mana pun, supaya kita dapat mencapai satu titik pertemuan yang baik agar Melaka dapat ditadbir dengan baik demi kepentingan rakyat. "Perbincangan yang selalunya rumit adalah mengenai pembahagian kerusi. Bincang baik-baik, tidak ada masalah yang tidak boleh dirungkai," katanya pada sidang media selepas majlis peluncuran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026-2035, di Kampung Orang Asli Air Banun, di sini hari ini. Ahmad Zahid berkata, Ab Rauf kemudiannya akan membawa hasil perbincangan berkenaan kepada kepimpinan tertinggi sebelum dimuktamadkan. "Pada hemat saya, keputusan yang akan dibuat dalam perbincangan itu akan disampaikan kepada kami kepimpinan tertinggi dan saya akan bawa juga kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional untuk kami memuktamadkan. Insya-Allah ada jalan bagi pemurnian, pemurnian kepada perbincangan yang tuntas," katanya. Semalam Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilaporkan berkata PN terbuka untuk berunding dengan BN termasuk kemungkinan pertukaran kerusi bagi menghadapi PRN Melaka. Dalam pada masa sama, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, turut dilaporkan menyambut baik keterbukaan BN berhubung pengagihan kerusi serta menyifatkannya sebagai satu peluang yang wajar diteliti. Sementara itu, Ahmad Zahid yang tidak menolak kemungkinan menghadiri Muktamar Tahunan PAS sekiranya menerima jemputan rasmi. Beliau berkata, sekiranya tidak dapat hadir sendiri, UMNO akan diwakili barisan kepimpinan parti pada muktamar berkenaan. Katanya, ini beliau pernah menghadiri Muktamar Tahunan PAS di Terengganu sebelum hubungan kedua-dua parti itu melalui fasa perpisahan. "Saya akan lihat jadual saya dan jika saya tidak boleh pergi mungkin saya akan minta penjawat parti mewakili. Inilah jemputan terbaru yang saya peroleh. Jadi saya harap saya berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghantar wakil sekurang-kurangnya bagi menghadiri muktamar berkenaan," katanya.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
26-8-2026 01:56 PM GMT+8 , Processed in 0.036391 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.